Dzulkifli Ahmad

KUALA LUMPUR – Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak bersalah adalah kenyataan yang menghina mahkamah.

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kenyataan itu juga satu penghinaan kepada hakim-hakim yang menghakimi kes-kes tersebut.

Tegas beliau, hanya mahkamah sahaja yang boleh membebaskan individu-individu yang berdepan dengan pertuduhan.

”Hanya Mahkamah yg boleh membebaskan yg dituduh. Kenyataan mengatakan bahawa PM “Muhyiddin akan tentukan 6 org wakil rakyat akan didapati tidak bersalah” adalah kenyataan menghina Mahkamah! Penghinaan kepada Hakim yg menghakimi kes2 tersebut!,” katanya menerusi ciapan di Twitter.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa lebih ramai pemimpin UMNO akan dibebaskan daripada pertuduhan di mahkamah tidak lama lagi kerana langkah itu bagi mengukuhkan kedudukan Muhyiddin selaku Perdana Menteri kelapan negara di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Kata Dr Mahathir: “Jika enam orang ini didapati bersalah oleh mahkamah, mereka tidak lagi jadi wakil rakyat. Dengan itu penyokong Muhyiddin tinggal 108 – iaitu kurang dari separuh, maka Kerajaan Muhyiddin pun akan jatuh.

”Sebab itu Muhyiddin akan tentukan enam orang wakil rakyat akan didapati tidak salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Enam orang individu yang dimaksudkan oleh Dr Mahathir ialah Datuk Seri Najib Abdul Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Najib kini berdepan berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International dan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Sementara Ahmad Zahid kini berhadapan dengan 84 pertuduhan membabitkan kes pecah amanah dan penggubahan wang haram berjumlah puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette

Tun M dakwa Muhyiddin akan ‘bebaskan’ Najib

1 Komen

Comments are closed.