PUTRAJAYA – Hanya 31 kes kontak rapat dikenalpasti mendapatkan khidmat tukang gunting rambut warga Pakistan yang disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka 40 orang kontak rapat yang dikenalpasti adalah tidak tepat memandangkan baki sembilan orang tidak mendapatkan perkhidmatan gunting rambut dengan kes positif.
“Sebelum ini, kontak rapat yang dikenalpasti adalah 40 orang namun setelah disiasat lanjut beberapa orang dalam kalangan mereka tidak diklasifikasikan sebagai kontak rapat ataupun tidak mendapatkan perkhidmatannya.
“Jadi jumlah individu yang disaring adalah 31 kontak rapat yang didapati berkait rapat dengan tukang gunting rambut itu,” ujar beliau dalam perkembangan Covid-19 harian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai status terkini 40 kontak rapat yang telah disaring Covid-19 selepas warga Pakistan disahkan positif dan dikuarantin dalam wad di Hospital Sungai Buloh sejak minggu lalu.
Justeru kata Noor Hisham, hasil saringan Covid-19 terhadap 31 kontak rapat berkenaan mendapati 29 orang menerima keputusan negatif.
“Manakala dua orang lagi yang dikenalpasti sebagai kontak rapat masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19 untuk tindakan lanjut.
“Jadi, setakat ini, tiada kluster gunting rambut hanya satu kes positif (tukang gunting rambut warga Pakistan),” tegasnya.-MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: