Bersatu
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memutuskan untuk tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini yang akan berlangsung pada 4 Julai ini.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan itu dibuat untuk memberikan sokongan kepada calon yang akan diputuskan Barisan Nasional bagi mewakili Perikatan Nasional.

“Seluruh jentera Bersatu juga akan digerakkan untuk memastikan kecemerlangan wakil Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan di sini.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi itu dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Pas memperolehi 5,405 undi dan calon dari PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mendapat 1,065 undi.  – MalaysiaGazette