Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan sebanyak RM942 juta yang dapat memberi manfaat kepada 7.66 juta pengguna.

Presidennya Adnan Mat menyifatkan keputusan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaa  sentiasa mendengar keluhan dan pandangan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“CUEPACS berpandangan keputusan kerajaan memberikan pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh 3 bulan iaitu bagi bil bulan April, Mei & Jun memberikan manfaat yang lebih meluaskan kepada rakyat berbanding pemberian diskaun mengikut blok penggunaan elektrik sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan.

Dalam masa yang sama penghargaan juga diberikan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana tidak  mengutamakan keuntungan semata-mata sebaliknya turut membantu rakyat.

“Tanggungjawab tersebut membuktikan TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu disaat semua pihak menghadapi kesukaran.

“Walaupun menerima kritikan akibat kekeliruan maklumat, TNB sentiasa profesional dalam membantu rakyat memberi penjelasan,” katanya lagi.

Adnan Mat

Kerajaan hari ini meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada  pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung bagi mengurangkan beban mereka ekoran peningkatan bil yang dialami sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Artikel berkaitan: 4 juta pengguna nikmati elektrik percuma

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah tersebut, seramai empat juta pengguna domestik dengan bil elektrik sebulan RM77 ke bawah atau penggunaan elektrik 300kWj ke bawah akan menikmati bekalan elektrik secara percuma bagi bulan April, Mei dan Jun 2020.

Dalam pada itu CUEPACS menasihatkan masyarakat yang mempunyai ketidakpuasan hati atau kekeliruan  berhubung bil elektrik supaya tidak menggunakan media sosial sebagai medium pilihan, sebaliknya  berhubung terus atau bersemuka dengan pihak TNB di Kedai Tenaga atau mana-mana cawangan  berhampiran agar dapat menyelesaikan keraguan masing-masing.

“Janganlah menggunakan medium sosial media untuk melontarkan padangan yang tidak berasas hingga ia mencetuskan kegusaran kepada rakyat. Langkah paling penting adalah dengan sentiasa mengamalkan penjimatan bagi mengelakkan kita terbeban,” katanya lagi. -MalaysiaGazette