Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menggunakan motosikal untuk berkempen sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Chini 2, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

CHINI – Seorang calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli menepis dakwaan dirinya ditaja oleh individu berkepentingan dalam sebuah parti pembangkang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Beliau berkata, keputusan mengumumkan bertanding pada saat akhir adalah kehendaknya sendiri yang tidak pernah terlintas di fikirannya untuk bertanding sebelum ini.

“Bila ada beberapa nama calon Bebas mengumumkan akan bertanding, mulalah ada spekulasi mengatakan saya dibayar oleh parti itu dan ini.

“Ini keputusan saya dan tidak ada sesiapa yang taja. Semua atas kerelaan diri saya bertanding demi memperjuangkan nasib rakyat khususnya warga Chini yang mengalami masalah lambakan warga asing bebas berniaga di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu ada dakwaan di media sosial yang mendakwa Mohd Shukri ditaja pihak tertentu bagi memecahkan undi penduduk Chini pada PRK kali kini.

Mohd Shukri sebelum ini berkata, keputusan untuk bertanding dibuat sehingga pukul 4 pagi pada hari penamaan calon di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara Pekan semalam.

Calon Bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli bercakap semasa sidang media khas sempena kempen Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Warung ABC Mekla, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 21 JUN 2020.

Beliau turut menjelaskan, fokusnya di PRK Chini adalah untuk membersihkan lambakan warga asing yang kini ibarat menjadi ‘tuan’ kepada penduduk setempat kerana mula memegang ekonomi setempat.

Disamping itu, ujarnya, isu projek terbengkalai projek Perumahan Generasi Baharu Felda turut akan dibawa beliau. – MalaysiaGazette