Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin pada hari Penamaan Calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 20 JUN 2020

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menggugurkan keahlian anggotanya, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin kerana bertanding sebagai calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Chini.

Tindakan itu dinyatakan dalam satu surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja parti itu, Kapten (B) Suhaimi Yahya,

Menurut surat itu, Zainul telah mengemukakan borang pencalonan sebagai calon bebas tanpa kebenaran atau persetujuan Bersatu.

“Pada 20 Jun 2020 (Sabtu), YBhg. Dato’ didapati telah mengemukakan borang penamaan calon dalam Pilihanraya Kecil N 23. Chini sebagai seorang calon bebas tanpa kebenaran dan/atau persetujuan BERSATU.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.4 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), keahlian YBhg. dalam BERSATU adalah terhenti secara serta merta,” katanya.

Zainul ketika ditemui media ketika berkempen berkata, tindakannya bertanding dalam PRK Chini bukannya bertujuan melawan parti.

Sebaliknya, kata beliau, keputusannya itu adalah selaras dengan amalan demokrasi dan beliau bukanlah mewakili mana-mana parti sebaliknya hanyalah bertanding sebagai calon bebas.

TERKINI : Saya Bukan Nak Melawan BERSATU… Ini Parti Demokrasi – Tengku Zainul

Bersatu menetapkan pendirian untuk menyokong calon yang diketengahkan oleh Barisan Nasional dalam PRK Chini iaitu Mohd Sharim Md Zain mewakili Perikatan Nasional.

Seorang lagi calon bebas yang bertanding ialah Mohd Shukri Mohd Ramli.

Kerusi DUN Chini kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung. – – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast