Dr. Noor Hisham Abdullah

PUTRAJAYA – Kes positif baharu jangkitan Covid-19 kekal turun dua angka dengan enam kes sahaja direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan enam kes itu adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang lagi bukan warganegara yang merupakan pemastautin tetap.

“Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,596 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 244 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya pada sidang media Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, tiga daripada kes baharu tersebut adalah satu kes saringan pusat tahfiz, satu kes Kluster Kondominium Hulu Langat, satu kes daripada Kluster Bukit Bintang dan satu kes lagi adalah dari kluster tapak pembinaan di Kuching.

Sehingga kini katanya, sebanyak dua kes positif Covid-19 sedang
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes yang memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan sebanyak 45 kes direkodkan pulih dan dibenarkan discaj hari ini.

Ia menjadikan jumlah kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad adalah sebanyak 8,231 kes, katanya.

Tiada pertambahan kes kematian berkaitan wabak tersebut dan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di negara ini kekal 121 kes atau 1.41 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast