Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran

KUALA LUMPUR – Pelbagai insentif diberi kerajaan kepada pihak yang terkesan dengan ekoran penularan Covid-19.

Hanya Malaysia satu-satunya negara di mana kerajaannya mengambil berat dan memberi keutamaan akibat kesan pandemik global berkenaan.

“Hanya di Malaysia atau Only In Malaysia sahaja perkara yang sedemikian boleh berlaku. Rakyat dan masyarakat di negara ini memang diutamakan oleh pihak kerajaan demi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan mereka terjamin,” kata Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran.

Beliau yang juga pakar sosial itu berpendapat, senario yang sama mungkin tidak dapat dirasai oleh masyarakat di negara lain termasuklah Amerika Syarikat, Jepun dan Kanada.

“Oleh yang demikian, masyarakat Malaysia patut berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana mengambil berat terhadap kebajikan dan keselamatan mereka,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai tanda terima kasih dan syukur kepada pihak kerajaan, katanya, masyarakat dan rakyat perlulah bersatu menyokong kepimpinan negara pada hari ini.

“Sokongan padu seluruh masyarakat amat penting kepada pihak kerajaan kerana ia akan membolehkan pihak kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kemajuan negara untuk masa hadapan.

“Selain daripada itu tanda terima kasih masyarakat kepada kerajaan juga boleh dizahirkan melalui pematuhan kepada peraturan dan perancangan yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan untuk kemakmuran dan kejayaan negara di masa hadapan.

“Dengan adanya sekongan dan kerjasama erat seperti ini pastinya ia mampu untuk mengwujudkan kerajaan yang stabil dan mampu untuk terus memimpin untuk kecemerlangan yang berterusan,” katanya lagi.

Menurut Dr. Mohammad Shatar, segala kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat di negara ini tidak pernah dilupakan oleh kerajaan.

“Pelbagai bantuan dan insentif telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan,” katanya.

Antaranya Pakej Ransangan Ekonomi, pakej prihatin dan pakej PENJANA adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk meringankan beban rakyat semasa berhadapan dengan virus Covid-19.

Selain itu, pelbagai bentuk diskaun dan pemotongan bayaran telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan dengan tujuan untuk mengurangkan beban rakyat semasa negara berhadapan dengan serangan Covid-19.- MalaysiaGazette