KUALA LUMPUR – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) meluaskan program bantuan Covid-19 yang merangkumi pembiayaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan yang lebih besar, untuk menyokong usaha kerajaan membantu perniagaan dalam masa yang sukar ini.
CIMB bekerjasama dengan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) dan Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) dalam melancarkan Skim Jaminan Kerajaan SJPP Covid-19 (GGS Prihatin) dan Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin (DPGS).
Kedua-dua program tambahan itu merupakan bantuan pelengkap yang diberikan oleh CIMB kepada PKS pertengahan melalui Kemudahan Bantuan Khas BNM (SRF).
Seperti yang diumumkan oleh SJPP dan Danajamin sebelum ini, sejumlah RM56 bilion diperuntukkan untuk membantu kecairan dan mempertahankan PKS dan perniagaan yang lebih besar dalam tempoh yang sukar ini.
”Kami optimis bantuan tambahan ini dapat meringankan beban kewangan syarikat-syarikat ini dan menghidupkan semula perniagaan mereka dalam menghadapi cabaran untuk memulakan semula ekonomi dan pemulihan syarikat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Komersial Kumpulan CIMB Group, Victor Lee Meng Teck.
GGS Prihatin terbuka untuk PKS yang memerlukan pembiayaan modal kerja dan perbelanjaan modal bermula dari RM75,000 hingga RM20 juta.
SJPP pula menawarkan jaminan jaminan 80% hingga 10 tahun.
Permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2020 atau sehingga had skim RM6 bilion digunakan sepenuhnya.
Katanya, PKS Malaysia di semua sektor layak untuk mendapatkan skim ini.
Perniagaan besar diperbadankan dan berpusat di Malaysia yang mendapat kesan buruk akibat Covid-19 pula boleh mendapatkan sokongan modal yang lebih baik melalui DPGS.
Dengan minimum kemudahan pembiayaan sebanyak RM20 juta ditawarkan oleh bank, DPGS menyediakan jaminan perlindungan sehingga 80% di bawah kemudahan ini.
Tempoh perlindungan jaminan adalah sehingga 5 tahun dan permohonan dibuka sehingga 31 Disember 2020, atau sehingga skim RM50 bilion digunakan sepenuhnya.
Pembiayaan konvensional atau Islam tersedia untuk kedua-dua skim ini, tambahnya. – MalaysiaGazette