Logo IMF

WASHINGTON – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menghulurkan talian hayat kepada Mesir apabila lembaga eksekutifnya meluluskan pinjaman baharu berjumlah AS$5.2 bilion di bawah Aturan Persediaan 12 bulan.

Pinjaman tersebut diharap dapat membantu negara berkenaan menghadapi impak pandemik koronavirus dan menampung kekurangan bajet serta pembayaran hutang, lapor Reuters.

Dalam satu kenyataan, IMF berkata, program tersebut juga boleh membantu kerajaan mengekalkan kejayaan yang telah dicatat sejak empat tahun lepas, menyokong perbelanjaan kesihatan dan sosial serta melindungi kumpulan terjejas serta mempercepatkan reformasi struktur.

Dalam perkembangan berbeza, Bank Dunia pula telah meluluskan pinjaman sebanyak AS$700 juta kepada Colombia bagi membantu negara itu berperang dengan pandemik koronavirus.

Pinjaman tersebut diharap dapat mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam perkhidmatan tersebut serta membolehkan program bantuan sosial diluaskan dan menyediakan kredit serta kecairan kepada perniagaan. – Agensi