Timbalan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (kanan) semasa ditemubual Malaysia Gazette di Tasik Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2020

CHINI – “Kerjasama Pas dengan UMNO dalam Muafakat Nasional amat baik dan ia memungkinkan untuk calon BN menang.”

Itu kata Timbalan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim mengenai kerjasama yang dijalinkan Pas Pekan dengan BN kawasan itu.

Mohd Fadhil Noor yang pernah bertanding bersama-sama Allahyarham Datuk Abu Bakar Harun pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) berkata, seluruh jentera parti itu telah diarahkan untuk bersama-sama Mohd Sharim.

“Jentera diarahkan sepenuhnya di peringkat Pas cawangan DUN Chini, Pas kawasan Pekan, dan Pas Pahang akan memberi komitmen sepenuhnya untuk menangkan BN,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam siri kempen di Kampung Orang Asli Gumum hari ini.

Timbalan Yang Dipertua Pas Pekan, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim bercakap semasa ditemubual Malaysia Gazette di Tasik Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 30 JUN 2020

Mohd Fadhil Noor berkata, semua ahli Pas digesa untuk memenangkan calon BN yang bertanding atas tiket Muafakat Nasional.

Keyakinan itu dizahirkan beliau selepas pernah mendapat 5,405 pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14), dua tahun lalu.

“Saya lihat sekarang calon BN boleh menang dengan mudah sebab kita lihat gerak kerja kerjasama dan juga sokongan dan kita tengok dari segi semangat nampak mudah namun kita tetap juga berusaha dan kena berhati-hati sebab selagi tak diumumkan pada malam 4 Julai itu, kita tak boleh nak raikan.

“Cuma kita yakin dan percaya dengan kemenangan besar,” katanya lagi.

Semalam, proses undi awal telah berlangsung dengan 94 peratus pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab mereka.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. menang milik allah…..perjuangan tengku dato hisam..calon bebas logo rumah…suara mandat rakyat chini berubah

Comments are closed.