Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak beramah mesra bersama ahli Al-Wardah pada Program Ramah Mesra Bersama Al-Wardah sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

CHINI – Bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak melahirkan keyakinan masyarakat Felda di Chini akan memberikan kemenangan besar kepada calon parti itu, Mohd Sharim Md Zain.

Najib berkata, sekiranya kemenangan besar itu dicapai, maka ia membuktikan masyarakat Felda kembali menyokong gagasan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kalau kita menang besar, bergaya maknanya isyarat jelas bahawa masyarakat Felda sudah kembali jadi kubu kuat kepada BN dan Muafakat Nasional.

“Itu signal sebab itu saya harap sangat tolong sokong calon kita dan sokong parti serta kita mesti pilih parti yang ada agenda untuk kita,” katanya ketika berucap dalam program ramah mesra bersama warga Al Wardah hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Mohd Sharim.

Sasaran itu, kata Najib, dikuatkan lagi dengan jumlah pengundi di Chini yang merangkumi 80 peratus daripada generasi pertama dan generasi kedua Felda.

Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Program Ramah Mesra Bersama Al-Wardah sempena Pilihan Raya Kecil N.23 Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

Bekas Perdana Menteri itu berkata, pengundi Chini harus menghargai kuasa yang ada pada mereka dengan memilih wakil rakyat yang boleh membawa suara mereka.

Jelasnya, semua pengundi dinasihatkan agar dapat memilih antara individu yang pandan buat kerja dengan individu yang cuma untuk meraih populariti semata-mata.

“Kita tahu dalam PRK kita mahu pilih berdasarkan kepada siapa yang boleh bantu kita, maknanya undi kita nak manfaatkan tentukan kita anggap sebagai satu hak untuk kita gunapakai dan terjemah sebagai satu yang manfaatkan kepada kita.

“Bukan undi itu dipersiakan sahaja tapi nak beri sesuatu yang bermakna dan mencorak masa depan yang lebih baik kepada kita. Orang yang boleh kita mengadu hal, yang boleh kira menumpang kalau tengah sesak. Sedikit sebanyak dia boleh bantu kita.

“Orang itu bukan sahaja perwatakan dia sesuai tapi dalam belakang dia ada parti dan kerajaan,” katanya lagi.

PRK DUN Chini dengan pengundian pada Sabtu ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, mempunyai 20,990 pengundi. – MalaysiaGazette