Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan (kiri) bercakap sesuatu dengan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak (kanan) pada Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Tapak Pasar Tani FAMA, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

CHINI – Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan mencerminkan referendum kepada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), kelak, kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut beliau, sekiranya majoriti yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain besar maka ia akan menjadi kayu pengukur kepada penerimaan kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kita nak pastikan supaya prestasi kemenangan kita itu menjadi petunjuk angka yang boleh dijadikan sebagai rujukan bagi menghadapi PRU15 yang kita tak tahu bila.

“Kita harap supaya latihan yang kita ada di bahagian-bahagian dan negeri-negeri untuk melatih jentera kita,” katanya selepas ceramah Muafakat Nasional di Chini satu, malam tadi.

Hadir sama bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong, dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahin Tuan Man.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berucap pada Muafakat Nasional sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.23 Chini di Tapak Pasar Tani FAMA, Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2020

Mohamad Hasan berkata, BN dijangka melonjakkan jumlah majoriti kerana kerjasama rapat yang telah dijalankan Pas dalam Muafakat Nasional.

“Kalau boleh kita nak gandakan jumlah majoriti yang kita dapat kalau dulu kita ada tiga penjuru Barisan Nasional, Pas dan Pakatan Harapan.

“Pas dapat 5,000 undi, Pakatan Harapan dapat seribu lebih, jadi kalau kita boleh lonjakkan majoriti kita itu sekali ganda kerana memandangkan Pas telah mengatakan sokongan dan Bersatu juga mengatakan sokongan kepada kita jadi kalau boleh kita nak supaya gandakan majoriti kita,” katanya lagi.

Hari ini merupakan hari terakhir bagi siri kempen PRK selama 14 hari sejak 20 Jun lalu.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan dua calon bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa. – MalaysiaGazette