Ceasar Mandela

KUALA LUMPUR – Calon Naib Ketua Armada Bersatu Nasional, Ceasar Mandela Malakun berharap dapat membawa pembaharuan kepada sayap parti Bersatu itu daripada segi penglibatan menyeluruh ahli semua peringkat dalam perjuangan parti.

Timbalan Ketua Armada Sabah itu berkata, semua pembaharuan hanya dapat dicapai sekiranya seluruh ahli Armada terus memperkukuhkan perpaduan dalam parti dengan mengetepikan semua perbezaan yang tidak menguntungkan perjuangan.

“Agenda pembaharuan pentadbiran, pengukuhan Armada Bersatu dan elemen dinamika dalam parti, yang memberi inspirasi kepada saya untuk menawarkan diri merebut kerusi Naib Ketua Armada Bersatu Nasional.

“Saya ingin melihat Armada semakin mantap dan terus kekal relevan memperjuangkan nasib orang muda pribumi di negara ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, semalam.

Beliau kini dalam siri jelajah bertemu ahli Armada peringkat negeri, Bahagian dan akar umbi di semenanjung sejak minggu lalu.

Menurut Ceasar Mandela, sebagai wakil calon dari “Bumi Di Bawah Bayu”, beliau membawa salam penyatuan dan perpaduan kepada seluruh ahli Armada Bersatu terutama di semenanjung dalam usaha bersama memperkasakan aspirasi parti tanpa batas sempadan.

Ujar beliau yang juga Ketua Armada Bahagian Penampang, semangat setiakawan dan perjuangan antara Sabah-Semenanjung kekal bersatu di bawah satu lambang parti dan bersedia menjadi jambatan perpaduan dalam Armada Bersatu Nasional.

“Saya akui cabaran bertanding jawatan Naib Ketua Armada Nasional ini bukan mudah, apatah lagi parti Bersatu cukup dominan di semenanjung.

“Namun, biarpun saya berasal dari Sabah saya percaya pemikiran keseluruhan ahli Armada cukup matang untuk mengetepikan garisan sempadan lautan demi keikhlasan perjuangan.

“Saya mahu menjadi jambatan perpaduan dan keharmonian antara ahli Armada Bersatu di semenanjung dan Sabah. Semangat antara negeri ini akan bersatu secara utuh di bawah payung parti keramat ini,” katanya.

Ceasar Mandela juga berjanji akan memberikan segala yang terbaik dan termampu sekiranya diberi peluang menduduki kerusi Naib Ketua Armada Nasional oleh perwakilan pada pemilihan 15 Ogos ini. – MalaysiaGazette