KUALA LUMPUR – Bajet 2021 yang dijadual dibentangkan pada 6 November ini akan memberi fokus kepada empat tema utama bagi menjayakan wawasan kerajaan sebagai pentadbir yang lebih mantap.

Empat tema itu ialah menjaga kebajikan rakyat, memacu pertumbuhan ekonomi, melestarikan kehidupan dan memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia seiring dengan matlamat pertama PRIHATIN untuk Melindungi Rakyat dan PENJANA adalah untuk memperkasakan rakyat.

Ketika memberi ucaptama di Invest Malaysia 2020 hari ini beliau berkata, rakyat Malaysia telah mempamerkan semangat yang teguh untuk membina masyarakat yang lebih baik terutamanya ketika negara menghadapi cabaran yang getir dalam beberapa bulan kebelangkangan ini.

Seluruh lapisan rakyat Malaysia tanpa mengira umur berganding bahu bersama NGO dan sektor swasta untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan.

Sehubungan itu, kerajaan yakin bahawa negara dapat memperkasakan semangat ini untuk membina landasan baharu bagi sistem ekonomi dan sosial untuk menwujudkan masa hadapan yang lebih adil dan saksama.

Di bawah tema memacu ekonomi pula merangkumi usaha untuk memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar bagi 2021, meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan keyakinan pengguna.

”Yang sama penting adalah memangkinkan penggunaan teknologi dan pendigitalan dalam kalangan sektor awam dan swasta untuk menjana pertumbuhan ekonomi,” katanya sambil menambah semasa Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac dan April lalu telah memacu penggunaan teknologi merentas semua pihak sama ada individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat-syariikat korporat.

”Sepertimana yang diumumkan di bawah pelan rangsangan dan pemulihan ekonomi, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk mendorong penerapan teknologi dan digital oleh PKS dan memupuk inovasi digital melalui modal teroka baharu.

Semua ini adalah sebahagian daripada galakkan kerajaan ke arah Revolusi Industri 4.0, dengan penekanan pada transformasi digital,” katanya.

Untuk tema ketiga pula, Tengku Zafrul berkata, pengalaman semasa menangani wabak Covid-19 telah menyaksikan bagaimana rakyat Malaysia berupaya mengubah gaya hidup hingga mencetuskan perubahan yang mendadak oleh perniagaan dan individu untuk lebih maju dan berdaya tahan – bukan sahaja dari segi digital malahan dari perspektif ESG – bagi menyokong pekerja, pelanggan, dan masyarakat setempat mereka.

Pada masa yang sama, pandemik Covid-19 tidak memperlahankan momentum pelaburan mampan, pada hakikatnya, di kebanyakan pasaran termasuk Amerika Syarikat, didapati syarikat yang menerapkan prinsip Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) merekodkan prestasi yang lebih baik.

Senario yang sama dapat dilihat di Malaysia, yang mana pada bulan Mei, FTSE4Good Index iaitu indeks penanda aras untuk syarikat yang berfokus pada ESG, memberi pulangan sebanyak 5.3% berbanding dengan FBM KLCI yang memberi pulangan sebanyak 4.8%.

Kerajaan juga telah menyediakan insentif bagi meningkatkan penggunaan ESG seperti pengecualian cukai ke atas pendapatan fi pengurusan bagi syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengurusan dana Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) bagi dana konvensional dan patuh Syariah; lanjutan tempoh potongan cukai ke atas kos penerbitan sukuk SRI dan lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Teknologi Hijau (GITA) dan Pengecualian Cukai Pendapatan Teknologi Hijau (GITE) sehingga 2023.

Bagi tema keempat, kerajaan bermatlamat untuk berfokus kepada keberhasilan ke arah menyokong rakyat dan perniagaan dengan lebih bersasar.

Katanya, secara ringkas, penekanan diberikan bukan kepada jumlah dana yang telah disalurkan, tetapi sama ada inisiatif tersebut dapat memberi impak yang bermakna kepada kehidupan rakyat. – MalaysiaGazette