Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media pada Program Penyampaian Sijil ISO 37001:2016 Anti Bribery Management System (ABMS) di Menara MITI, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 08 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan agenda membasmi gejala rasuah yang telah dipelopori oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) dan agensi-agensi lain sebelum ini.

Menteri Kanan Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau percaya, indeks rasuah di bawah kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin mampu memberikan keputusan yang lebih positif.

“Sebagai sebuah kerajaan itulah komitmen kepada rakyat,” katanya selepas menghadiri majlis penyerahan sijil Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ISO 370001:2016 di kementeriannya hari ini.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menjadi kementerian pertama di bawah kategori kementerian berisiko sederhana yang berjaya menerima pensijilan tersebut.

Pensijilan antarabangsa ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah itu diperkenalkan International Organisation for Standardisation (ISO) yang beribu pejabat di Geneva dengan tujuan untuk menyediakan kawalan berkesan bagi mengelak, mengesan dan bertindak dengan cepat terhadap pelakuan rasuah selain mempromosi budaya berintergriti, telus dan pematuhan undang-undang.

MITI dalam kenyataannya berkata, pensijilan tersebut amat penting kepada kementerian untuk meningkatkan kecekapan dan ketelusan pengurusan. – MalaysiaGazette