Donald Trump. foto AP

WASHINGTON – Presiden Donald Trump secara rasmi telah menarik Amerika Syarikat (AS) keluar daripada menjadi keanggotaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presiden telah menjelaskan hasratnya itu pada akhir bulan Mei selepas mendakwa WHO berada di bawah kawalan China selepas berlakunya wabak koronavirus.

Walaupun ada menerima permintaan daripada Kesatuan Eropah (EU) dan yang lain, Trump tetap mengatakan akan menarik diri daripada agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) itu.

Trump memaklumkan beliau akan mengagihkan dananya ke tempat lain.

Presiden AS itu telah memaklumkan hasratnya itu kepada PBB dan Kongres, walaupun prosesnya memakan masa sekurang-kurangnya setahun.

Stéphane Dujarric, jurucakap kepada Setiausaha Agung PBB mengesahkan AS telah memaklumkan tentang penarikan diri berkuatkuasa pada 6 Julai 2021.
Senator Robert Menendez, Jawatankuasa Hubungan Luar Negeri juga mengesahkan penarikan AS daripada badan tersebut.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS memberitahu CBS News, Washington telah memperincikan pembaharuan yang ia mahu WHO buat dan terlibat dengannya secara langsung, tetapi badan kesihatan dunia itu enggan bertindak.

“Kerana mereka gagal membuat reformasi yang diminta dan sangat diperlukan, hari ini kita akan memutuskan hubungan,” kata pejabat itu.

Joe Biden, yang akan mencabar Trump dalam pemilihan presiden pada bulan November nanti berkata: “Pada hari pertama saya sebagai Presiden, saya akan bergabung semula dengan WHO dan mengembalikan kepemimpinan kita di pentas dunia”.

AS adalah penyumbang tunggal terbesar badan kesihatan global, menyediakan lebih daripada AS$ 400 juta (£ 324 juta; € 360 juta) pada tahun 2019, sekitar 15% daripada jumlah anggaran bajetnya. – MalaysiaGazette