Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR – Majlis Tertinggi (MT) UMNO menetapkan 15 Julai hingga 31 Ogos ini untuk Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Cawangan bermesyuarat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menasihatkan ahli agar kehadiran pada mesyuarat itu tidak melebihi 250 orang sebagai mematuhi prosedur standard operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Beliau meminta pimpinan setiap Cawangan UMNO agar merujuk SOP terperinci di laman web Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) menerusi www.ros.gov.my.

“Selaras dengan kenyataan kebenaran bermesyuarat daripada ROS, mesyuarat Pengurusan MT UMNO telah menetapkan mesyuarat Cawangan tiga sayap parti bermula 15 Julai hingga 31 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, mesyuarat Perwakilan Bahagian pula ditetapkan pada 15 September hingga 31 Oktober, dengan kehadiran mesyuarat juga tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Konvensyen Tahunan UMNO Negeri, katanya, MT bersetuju diadakan sepanjang 23 hari bermula 1 November hingga 23 November ini.

“Namun, negeri yang telah selesai awal mengadakan mesyuarat bahagian boleh menganjurkan konvensyen lebih awal.

“Kehadiran jumlah peserta juga tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan oleh Kerajaan,” katanya.

Sementara itu, kata Ahmad Maslan, Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang dijadualkan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) akan berlangsung selama empat hari dari 25 hingga 28 November.

Tentatif PAU 2020 ialah 25 November, perasmian serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO (sebelah malam); diikuti 26 November, Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO; dan 27 hingga 28 November, Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, PWTC. – MalaysiaGazette