John Travolta bersama isterinya, Kelly Preston.

AMERIKA SYARIKAT – Isteri kepada John Travolta, Kelly Preston meninggal dunia selepas dua tahun bertarung dengan kanser payudara.

Kematian mendiang yang berusia 57 tahun itu semalam dikongsi oleh Travolta di laman Instagramnya.

“Berat hati untuk memaklumkan kepada semua bahawa isteri saya, Kelly telah pergi selepas berjuang dua tahun dengan kanser payudara.

“Dia telah berjuang dengan penuh berani melawan penyakit ini bersama kasih sayang dan sokongan ramai,” tulisnya.

Travolta berkata, mendiang Kelly akan terus dicintainya dan kini mahu ruang peribadi bagi beliau bersama-sama anak-anaknya yang baru kehilangan ibu.

“Atas sebab itu, saya minta maaf sekiranya tidak mendengar khabar mengenai kami buat seketika tetapi saya dapat rasai kasih sayang daripada anda semua,” tulisnya dipetik dari Daily Mail.

Kedua-dua selebriti itu mendirikan rumah tangga di Paris pada tahun 1991 dan hasil perkahwinan selama 29 tahun, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ella, 20, dan Benjamin, 9.

Bagaimanapun, anak lelakinya, Jett meninggal dunia pada tahun 2009 pada usia 16 tahun.

Sebelum ini, Kelly dan Travolta sering digandingkan bersama dalam filem.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast