Datuk Seri Amirudin Shari
Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM55.85 bilion menerusi pakej Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor bagi menangani kesan penularan wabak Covid-19 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan peruntukan dalam dua fasa iaitu bantuan kewangan dan usaha tambahan bagi menangani isu sosial sebagai persediaan mengadaptasi norma baharu kehidupan rakyat negeri itu.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan PKP, aktiviti perniagaan dan perkhidmatan telah ditutup, manakala pergerakan antara negeri tidak dibenarkan sama sekali.

Katanya, akibat penutupan dan pemberhentian semua aktiviti itu, menyebabkan pemilik perniagaan terutamanya perniagaan kecil dan sederhana terpaksa memberhentikan pekerja masing-masing.

Berikutan itu, kata beliau, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran telah meningkat sebanyak 5 peratus bersamaan 778,800 orang, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 1990.

“Justeru, kita mengambil langkah bagi mendepani kesan wabak ini dengan serius dan melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin sebelum ini, yang mana pakej pertama berjumlah RM127.78 juta dan pakej kedua sebanyak RM272.5 juta.

“Hari ini, saya mengumumkan pakej ketiga berjumlah RM55.85 bilion bagi menangani kesan pandemik Covid-19 yang dianggap paling serius melanda negara ini dan dunia khususnya,” katanya dalam persidangan Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor ke-14, hari ini.

Menurut Amirudin, di bawah fasa ketiga pakej itu, kerajaan negeri akan menekankan tiga tonggak utama iaitu pertama, jaminan bekalan makanan, kedua, kemampanan ekonomi dan ketiga, pembangunan keupayaan.

Kata beliau, bagi tonggak pertama itu, walaupun umumnya stabil dan rakyat tidak mengalami masalah mendapatkan sumber makanan sepanjang tempoh PKP, tetapi kerajaan negeri tidak seharusnya leka tanpa perancangan jangka panjang.

“Mengambil kira pengeluaran sumber makanan, kita perlu meningkatkan nilai kitaran pertanian dan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan sebagai persediaan sebarang krisis di masa hadapan seperti pandemik dan pemanasan global.

“Sepanjang PKP juga, kerajaan negeri telah membantu hampir 8,000 pengusaha di sektor pertanian dengan suntikan dana sebanyak RM3 juta untuk memasarkan produk mereka melalui Program Selangor Agro Market-Pasar Segar Terkawal (SAMPST),” katanya.

Katanya, tonggak kedua, iaitu kemampanan ekonomi yang menumpukan kepada usaha merancakkan lagi pembangunan hartanah, selain memastikan pengurusan infrastruktur dan perkhidmatan air yang efisien serta mengekalkan keseimbangan dalam aliran tunai kerajaan negeri lebih bersifat fleksibel.

Antara inisiatif dicadangkan pelaksanaannya projek Rumah Selangorku Harapan dan Rumah IDAMAN dengan sasaran tambahan sehingga 60,000 unit daripada 30,000 unit di pasaran bagi tempoh tiga tahun.

Kata Amirudin, untuk itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.5 bilion bagi projek Rumah Selangorku Harapan yang diselaraskan pada harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit.

Beliau menjangkakan, menerusi insentif itu, kerajaan negeri akan mendapat sekurang-kurangnya lebih dari 3,000 unit Rumah Selangorku dengan nilai hartanah RM750 juta secara percuma sehingga 2023.

“Dalam pelaksanaan insentif ini, kita tidak akan mengabaikan golongan B40 khususnya untuk memiliki rumah ini dengan memperkenalkan program “Skim Smart Sewa to Ownership (2STAY)”.

“Program ini akan melalui dua fasa iaitu tempoh penyewaan minimum dua tahun sehingga maksimum lima tahun dan tempoh pemilikan di bawah ‘Rent to Own’.

“Selepas tamat tempoh penyewaan lima tahun, mereka akan diberi pilihan sama ada untuk membeli atau memiliki rumah tersebut atau sebaliknya,” katanya.

Bagi tonggak ketiga, menurut Menteri Besar itu, kerajaan negeri akan memberi penekanan dengan memacu pertumbuhan industri aeroangkasa sebagai industri bernilai tinggi dengan koordinasi tenaga kerja melibatkan rakyat Selangor.

Inisiatif itu, ujarnya, sangat diperlukan dalam fasa pemulihan bagi mengukuhkan lagi rantaian sumber manusia dalam bidang aeroangkasa.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri turut memberi fokus dalam peningkatan kemahiran tenaga kerja bagi membantu mereka yang terkesan akibat pemberhentian sektor ekonomi semasa PKP.

“Kita meletakkan sasaran menangani masalah pengangguran sebanyak 5 peratus ini sebagai strategi pemulihan ekonomi pasca Covid-19, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun,” katanya. – MalaysiaGazette