Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi. foto SYAFIQ AMBAK, 16 JULAI 2020.

PUTRAJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terlibat secara langsung dalam usul Rang Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan impak penularan Covid-19

Menterinya, Datuk Alaxender Nanta Linggi berkata, kementerian itu akan memberi laluan kepada pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999, khususnya berkenaan urus niaga jualan kredit.

“Kementerian memainkan peranan yang penting dalam memulihkan ekonomi serta membantu rakyat pasca Covid-19.

“Dalam hal ini, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dengan kerjasama daripada kementerian-kementerian yang berkaitan sedang meneliti pengubalan Rang Undang-undang (RUU) Pelaksanaan Langkah Sementara bagi mengurangkan impak penularan Covid-19,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada Majlis Amanat bersama warga KPDNHEP, di sini.

Menurut Alaxender, cadangan pindaan Akta Perlindungan Pengguna 1999 akan memperuntukkan larangan pemberi kemudahan kredit untuk mengenakan caj bayaran lewat.

Selain itu, indaan tersebut akan melarang memulakan prosiding terhadap pembeli pada tempoh yang ditetapkan, ujar beliau.

Alaxender berkata, sekiranya pindaan itu dilaksanakan, beban pengguna yang terlibat dengan pembelian jualan kredit dalam tempoh pasca Covid-19 akan berkurangan.

“Pindaan ini diharap dapat membantu pengguna mengurangkan beban pembayaran ansuran bulanan serta memberi kelonggaran beban kewangan yang dialami oleh pembeli jualan kredit sedia ada sewaktu pasca Covid-19,” tambahnya.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sebelum ini mengumumkan kerajaan akan menggubal RUU Covid-19, yang merupakan pelepasan sementara daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan. – MalaysiaGazette