WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) melaporkan sekurang-kurangnya 70,000 kes jangkitan baharu Covid-19, peningkatan harian untuk kali ketujuh pada bulan ini.

Kematian yang direkodkan di AS juga meningkat dan baru-baru ini mencapai tahap tertinggi sejak awal bulan Jun, terutama di Arizona, California, Florida dan Texas.

Lebih daripada separuh daripada semua negeri – 30 dari 50 negeri menyaksikan peningkatan satu hari kes dalam bulan ini.

Jangkitan meningkat di hampir semua negeri, berdasarkan analisis kes Reuters dalam dua minggu terakhir berbanding dengan dua minggu sebelumnya.

Florida melaporkan peningkatan rekod lebih daripada 15,000 kes jangkitan baharu Covid-19 dalam 24 jam pada hari Ahad, ketika pentadbiran Donald Trump mendesak agar sekolah dibuka semula.

Sekiranya Florida adalah sebuah negara, ia akan menduduki tempat keempat di dunia untuk kenaikan harian di belakang Amerika Syarikat, Brazil dan India.

Penduduk AS kini semakin berpecah-belah dalam isu-isu seperti pembukaan semula sekolah dan perniagaan serta pemakaian pelitup muka di khalayak ramai.

Terdapat konsensus dalam kalangan pakar kesihatan bahawa memakai pelitup muka adalah salah satu kaedah paling berkesan untuk menghentikan penularan virus, yang telah membunuh lebih dari 134,000 orang penduduk AS.

Jumlah jangkitan semasa iaitu 70,272 kes melebihi rekod pada hari Jumaat lalu iaitu 69,070.

Pada bulan Jun, kes meningkat rata-rata 28, 000 sehari berbanding pada bulan Julai meningkat rata-rata 57,625 sehari.

Sebelum ini, pakar penyakit berjangkit, Dr Anthony Fauci memberi amaran bahasa kes jangkitan boleh mencecah 100,000 sehari jika penduduk Amerika Syarikat tidak mengambil langkah untuk menangani penularan virus. – MalaysiaGazette