Dr. Shahruddin Mat Salleh

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr. Sharuddin Mat Salleh bukan lagi ahli parti itu berkuatkuasa 10 Julai lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika mengesahkan perkara itu berkata, Dr. Sharuddin telah mengeluarkan notis pemakluman kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat berhubung kedudukan kerusinya.

“Dalam pemakluman itu, Dr. Sharuddin memberitahu kepada Speaker bahawa beliau tidak lagi bersama kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan pemakluman itu juga, bermakna beliau berada di blok pembangkang dan keahliannya telah terhenti secara serta merta mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu,” katanya dalam kenyataan semalam.

Pada 4 Jun lalu, Dr. Sharuddin telah meletakkan jawatan Timbalan Menteri Kerja Raya berikutan mahu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dan lima pemimpin Bersatu yang lain, yang digugurkan dari keahlian parti.

Beliau berbuat demikian dengan alasan, pengundi kawasan Parlimen Sri Gading telah memilihnya atas parti Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu, bukan boleh sewenang-wenangnya lompat bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Hamzah dalam kenyataan itu menyatakan, parti Bersatu mengucapkan terima kasih atas segala khidmat bakti Dr. Sharuddin sepanjang bersama parti itu.

“Bersatu memberi amaran kepada mana-mana ahli yang menyokong atau bersama bekas pemimpin parti itu yang telah terlucut keahlian terlibat dalam kempen untuk memburukkan nama baik parti.

“Dalam hal ini, Bersatu tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan disiplin yang tegas terhadap mana-mana ahli yang telah melanggar dan menyalahi perlembagaan parti,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Inilah ahli parlimen yg ada jati diri.Rakyat sdh memilih beliau berdasarkan parti yg diwakili.Bukan spt kebanyakan ahli parlimen yg bertanding atas nama UMNO tapi melompat masuk Bersatu.

Comments are closed.