Ndiamé Diop,

KUALA LUMPUR – Terdapat tanda-tanda menggalakkan yang menunjukkan Malaysia mampu menangani krisis Covid-19 dengan lebih baik berbanding negara-negara lain.

Ini kerana, ekonomi Malaysia mempunyai asas kukuh dengan strukturnya yang pelbagai, sistem kewangan yang mantap dan langkah pengurusan kesihatan awam yang berkesan serta sokongan dasar makroekonomi yang proaktif membantu mengurangkan kesan pandemik.

Walaupun Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia akan menguncup dengan ketara pada tahun ini, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turun sebanyak 3.1 peratus, termasuk penguncupan yang ketara pada suku kedua serta ketidaktentuan terhadap pemulihan ekonomi, namun negara ini masih lagi ada harapan.

Ndiamé Diop, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Asia Timur dan Pasifik berkata, kerajaan telah menggerakkan strategi enam peringkat yang mampu memacu semula ekonomi secara kukuh dan berdaya tahan.

”Malaysia telah memasuki peringkat “pemulihan” yang keempat yang menjadi asas kepada peringkat yang seterusnya dalam usaha menghidupkan dan membentuk semula ekonomi.

”Ini bermakna kerajaan bukan sahaja berazam untuk keluar daripada krisis ini tetapi juga untuk berada dalam kedudukan yang lebih baik daripada sebelum ini supaya dapat menangani krisis lain pada masa akan datang,” katanya di sini.

Sejak sebelum krisis Covid-19 lagi, ramai dalam kalangan rakyat Malaysia mula merasakan bahawa pertumbuhan telah menjadi semakin tidak menyeluruh dengan kadar pertumbuhan pendapatan tidak sejajar dengan kos sara hidup.

Malah, mereka juga merasakan bahawa ekonomi tidak dapat mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang mencukupi.

Terdapat juga kebimbangan bahawa standard tadbir urus perlu dipertingkatkan dan kualiti perkhidmatan awam tidak sebaik seperti yang diharapkan oleh masyarakat kelas pertengahan yang semakin bertambah.

Katanya, Bank Dunia uba menyelami isu ini dalam edisi terkini Malaysia Economic Monitor, bukan sekadar melihat bagaimana negara dapat mengharungi krisis yang dibawa oleh wabak Covid-19, tetapi mengambil peluang daripada krisis ini untuk muncul dengan lebih gagah lagi.

Ada beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian iaitu pertama, secara jangka pendek kerajaan mungkin perlu melakukan lebih lagi untuk melindungi mereka yang sangat memerlukan, terutamanya isi rumah dan perniagaan yang mudah terjejas, walaupun sokongan dasar yang penting telah pun dilaksanakan.

Walaupun sesetengah aktiviti ekonomi akan meningkat semula selepas sekatan pergerakan ditamatkan, namun pendapatan dan peluang pekerjaan akan mengambil masa untuk pulih, walaupun sesetengah bahagian ekonomi (seperti sektor perkilangan) akan menyaksikan pertumbuhan yang lebih cepat berbanding sektor lain (seperti pelancongan).

Ini bermakna bantuan kewangan tambahan perlu diberikan kepada golongan yang terjejas, terutamanya kumpulan B40 yang tiada wang simpanan dan rangkaian sokongan untuk berdepan dengan kesan berpanjangan yang menjejaskan punca pendapatan mereka.

Menurut Diop, krisis ini juga menekankan keperluan Malaysia untuk mewujudkan sistem perlindungan sosial yang lebih kukuh dengan kos yang lebih berkesan serta dasar yang lebih bersepadu bagi meningkatkan kebajikan individu dan isi rumah semasa tempoh pemulihan dan pada masa akan datang.

Sistem tersebut perlu menjamin tahap perlindungan yang minimum bagi mereka yang memerlukan, berupaya menangani keadaan yang berubah-ubah, menggalakkan pekerjaan dan mapan secara fiskal.

Katanya, pengumuman yang dibuat baru-baru ini untuk mengemas kini dan menaikkan garis kemiskinan Malaysia merupakan satu langkah penting memandangkan dimensi kemiskinan bukan pendapatan dalam Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) yang seharusnya dinaikkan juga dalam Rancangan Malaysia Ke-12 yang akan datang.

Langkah-langkah ini akan membantu memaklumkan dasar dan program kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia yang terjejas menerima sokongan yang diperlukan.

Ujarnya, usaha untuk menyokong isi rumah yang terjejas bermakna mewujudkan ruang fiskal tambahan agar kerajaan mempunyai keupayaan menangani krisis dengan lebih berkesan walaupun sesetengah ruang boleh diwujudkan dengan memperuntukkan semula perbelanjaan awam bukan teras dan mengembangkan hasil bukan cukai (memastikan sumbangan dividen tambahan daripada syarikat berkaitan kerajaan untuk perbendaharaan).

Namun apa yang diperlukan adalah untuk menghentikan buat sementara had jumlah dan penggunaan pinjaman yang dikenakan oleh peraturan fiskal Malaysia.

Walau bagaimanapun, langkah ini memerlukan tindakan perundangan di Parlimen.

Secara jangka sederhana, langkah yang perlu diambil adalah dengan menyediakan ekonomi untuk beroperasi di bawah ‘normal baharu, bermakna memulihkan penampan fiskal Malaysia untuk bersedia menghadapi krisis yang akan datang.

“Covid-19 telah melanda secara mengejut di mana Malaysia memiliki ruang belanjawan yang terhad untuk bertindak balas menerusi suntikan fiskal secara langsung. Apabila ekonomi pulih nanti, langkah pembaharuan perlu diambil untuk meningkatkan hasil cukai (termasuk mencari sumber hasil baharu yang lebih progresif).

”Fokus utama juga perlu diberikan untuk meningkatkan kemahiran dan melatih semula tenaga kerja dalam ekonomi baharu, serta merancakkan agenda digital dan mengurangkan jurang digital,” tambahnya. – MalaysiaGazette