M.Saravanan

PUTRAJAYA – Kesemua 40 pemain industri pengeluar sarung tangan getah di negara ini telah bersetuju untuk menawarkan lebih 20,000 peluang pekerjaan dalam sektor itu kepada warga tempatan.

Bagi memastikan matlamat itu tercapai, Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (Margam) akan mengiklankan keperluan tenaga kerja itu di laman web pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM).

Perkara itu tercapai selepas menterinya, Datuk Seri M. Saravanan mengadakan pertemuan tertutup di kementerian, hari ini.

“Kita telah berbincang dengan hampir 40 syarikat pengeluar sarung tangan getah, keperluan semasa mereka lebih kurang 20,000 hingga 25,000 pekerja.

“Saya telah mengarahkan mereka supaya pastikan mereka beri keutamaan kepada warga tempatan dan mereka setuju.

“Hari ini 40 syarikat pengeluar ini telah bersetuju untuk mengambil pekerja tempatan dan mereka perlu membuat iklan di dalam job portal yang disediakan di bawah KSM untuk menunjukkan keikhlasan,” katanya kepada pemberita di kementeriannya, hari ini.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan menyaran pihak majikan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya memberi keutaamaan kepada rakyat tempatan dan tidak bergantung kepada lebih 5 juta pekerja asing di negara ini.

Ia berikutan lebih 1 juta pekerja dijangka hilang pekerjaan ekoran kelembapan pembangunan ekonomi jangka pendek walaupun pelbagai insentif diusahan kerajaan pasca Covid-19.

Sementara itu, KSM akan menjalankan penguatkuasaan Akta 446 dengan mewajibkan majikan menyediakan keperluan pekerja asing di negara ini.

“Tidak lama lagi, KSM akan menjalankan penguatkuasaan dari segi Akta 446.

“Ia bagi memastikan perumahan, penginapan dan kemudahan untuk pekerja asing mengikut standard ILO. (Pertubuhan Buruh Antarabangsa),” katanya lagi. – MalaysiaGazette