tindakan menyayat hati seorang pemuda Palastin Jihad yang memanjat bangunan hospital dan duduk di tepi tingkap wad ICU serta menatap wajah ibunya buat kali terakhir sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhirnya di depan mata pada malam Khamis lalu di Palastin viral dalam media sosial.Kredit: Twitter Aktivis Sosial Palastin

BAITUL MAQDIS – Seorang anak warga Palestin sanggup mengambil risiko dengan memanjat bangunan hospital untuk melihat wajah ibunya buat kali terakhir sebelum meninggal dunia akibat Covid-19.

Menurut laporan berita laman Al Nas, pemuda yang dikenalpasti sebagai Jihad Al-Suwaiti, 30, tidak dapat melawat ibunya Rasmi Suwaiti, 73, yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat penyakit leukimia dan positif Covid-19.

Pemuda yang berasal dari bandar Beit Awa di Tebing Barat menatap wajah ibunya setiap malam, termasuk ketika Rasmi menghembus nafas terakhir pada Khamis lalu, dari tingkap wad ICU Hospital Hebron State yang menempatkan Rasmi selama seminggu.

Jihad menitiskan air mata di atas pemergian orang tersayang, mengiringi doa agar ibunya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Gambar Jihad duduk di tepi tingkap wad ICU bangunan hospital itu tular dalam media sosial dan menjadi perhatian komuniti antarabangsa.

Seorang netizen menyifatkan pemuda itu sebagai anak yang soleh kerana sanggup memanjat bangunan demi untuk melihat wajah ibunya.

“Anak soleh, tak sanggup melihat saat berkenaan yang menyebabkan sebak dengan kasih sayang terhadap ibunya yang meninggal dunia di depan mata, ini inspirasi kepada mereka yang memberi alasan menjaga ibunya.

Rasmi yang menderita penyakit leukemia disahkan positif Covid-19.

“Saya hanya mampu duduk di tepi tingkap, tak berdaya untuk bantu atau dekati emak dan menyaksikan saat akhirnya dengan wajah dibasahi air mata.

“Saya dah cuba masuk ke hospital dan meminta kebenaran lihat emak kepada pasukan perubatan selepas dimaklumkan keadaan emak bertambah kritikal tetapi dilarang.

“Saya rindu emak sangat-sangat, sedih dia mahu tinggalkan saya selama-lamanya akibat Covid-19, demi mengucapkan selamat tinggal dan melihat wajahnya untuk kali terakhir, saya terpaksa memanjat bangunan dan duduk di tingkap wad ICU,” kata Jihad seperti dipetik Arabic Post. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast