Datuk Abdul Latif Abdul Kadir
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir bergambar bersama Panel Van pada Majlis Penyerahan Kenderaan Penguatkuasaan Maxus Window Panel Van V80 di di Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Presint 2, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 21 JULAI 2020

PUTRAJAYA – Penyeludupan rokok putih dan keretek sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak awal fasa pertama hingga kini tidak menunjukkan trend menurun sebaliknya jenayah ini terus meningkat.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Abdul Latif Abdul Kadir berkata, berdasarkan operasi dilakukan sejak Januari hingga Jun tahun ini mendapati terdapat 804 kes dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM37.3 juta.

“Memang kita ada banyak kes, hampir 40 kes dalam tiga bulan pertama PKP, kalau data Kastam dari Januari hingga Jun tahun ini kita ada 804 kes.

“Dari Mac hingga Mei selepas PKP mereka ini tetap menyeludup. Daripada risikan kita pada masa PKP fasa pertama itu bekalan rokok tidak sah ini sangat kurang di pasaran.

“Permintaan masih tinggi, bila tiba PKPP, bilangan tangkap lagi banyak dan mereka mula masuk (seludup) masa PKPP,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod kastam juga, walaupun jumlah kes penyeludupan rokok bagi tempoh sama tahun lalu lebih tinggi berbanding tahun ini, iaitu 836 kes dengan nilai rampasan berjumlah RM19.5 juta namun nilai rampasan meningkat 93 peratus.

Abdul Latif menambah, sepanjang tiga bulan pertama dalam tempoh PKP, aktiviti penyeludupan rokok berjalan seperti biasa malah meningkat meskipun bekalan rokok tidak sah itu berkurangan di pasaran.

“Sepanjang PKP tiga bulan pertama itu kita juga mengerahkan semua kekuatan dan memang ada tangkapan. Bekalan rokok tidak sah ini terputus bekalan, menyebabkan harga naik sehingga RM10 sekotak.

“Kes-kes rokok ini memang banyak kita tangkap masa PKP sama ada dalam bentuk kontena dan runcit yang dibawa menggunakan kereta dan lori-lori kecil, memang ada tangkap dan rampasan.

“Kita bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain di bawah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mana kita terus membanteras penyeludupan melalui anggota kita di bahagian penguatkuasaan di darat dan laut (marin),” katanya lagi. – MalaysiaGazette