Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah bercakap dengan media selepas membuat laporan polis mengenai isu conteng mural Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri, Tan Seri Muhyiddin Yassin, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di Ibu Pejabat Daerah, Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2020.

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sepatutnya tidak berlengah lagi dan segera mengamb tindakan ke atas dua individu disyaki melakukan vendalisme ke atas mural gergasi wajah pemimpin negara, baru-baru ini.

Presiden Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah menegaskan, individu terbabit perlu ditahan segera bagi mengelakkan penghinaan itu berulang dilakukan terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan kerajaan.

“Kami menggesa KDN dan PDRM, tangkap cepat orang yang mencemar dan menconteng potret atau mural pemimpin negara ini.

“Bagi hukumnya setimpal atau lucut kerakyatan mereka, ini semua biadab. Rakyat Malaysia marah, jangan sampai rakyat pergi cari dia.

“Jangan lepas, jangan jamin, ini melampau, tak tahu apa agenda dia,” katanya kepada MalaysiaGazette di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Terdahulu Abdul Rani bersama 10 NGO lain membuat laporan polis terhadap dua individu disyaki bertanggungjawab menconteng dan merosakkan mural gergasi di Taman Cahaya Alam, baru-baru ini.

Isnin lalu, dua wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural pemimpin negara di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam tular di media sosial.

Kelibat dua wanita itu dilihat dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang mula tular sejak tengah hari, pada Isnin.

Rakaman video berdurasi dua minit 20 saat itu memaparkan sebuah kereta diletakkan di sebelah lorong lukisan mural berkenaan sebelum kelibat dua individu itu muncul.

Mereka dipercayai menconteng kata-kata kesat terhadap gambar pemimpin negara termasuk YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum beredar.

Susulan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan segera dengan memadam keseluruhan mural itu dengan mengecat semula.

Abdul Rani juga menyifatkan tindakan vendalisme itu sebagai biadab, lebih-lebih lagi mural itu dicemari dengan kata-kata lucah dan menghina Raja-Raja Melayu.

“Ini sungguh biadab dan kurang ajar dan tidak bertamadun, gambar pemimpin negara kamu cemari, pemimpin negara kamu hina, kamu kutuk,” tegasnya.

Malah Abdul Rani mahu PDRM mengambil serius titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang murka terhadap insiden itu.

“Ini sungguh amat biadab dna luar biasa. Pihak polis perlu menjunjung titah Sultan Selangor agar menangkap individu yang tular di laman sosial di mana CCTV menampakkan dua lembaga yang tidak dikenali,” katanya.

Sementara, ahli-ahli politik dan wakil rakyat juga diingatkan tidak mencampuri urusan pihak polis dalam menyiasat dalang di sebalik vendalisme itu.

“Ayah nak beri amaran kepada ahli-ahli politik, wakil rakyat dan Menteri-Menteri jangan terlibat dan campur tangan urusan polis, biarlah polis buat kerja.

“Sudah seminggu perkara ini tapi masih tular, ayah seru kepada seluruh rakyat Malaysia buat laporan polis, biar polis ambil tindakan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast