Pemain Selangor, Sandro Da Silva (kanan) mengawal bola sambil cuba diasak pemain Pahang, Nik Muhammad Sharif pada perlawanan Liga Super Malaysia diantara pasukan Selangor menentang pasukan Pahang di Stadium Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2019

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi jaminan tarikh saingan Liga Malaysia (Liga M) disambung semula musim ini masih kekal seperti dirancang pada 26 Ogos ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengenai perkara itu.

Beliau turut mengesahkan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membenarkan kejohanan kontak penuh seperti bola sepak bermula 15 Ogos ini tidak berubah.

“Keputusan untuk menyambung semula Liga M seperti dirancangkan adalah kekal. Tiada perubahan setakat ini di mana semua pasukan Liga M kini sedang giat melakukan persiapan rapi,” katanya.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat sama ada wajar atau tidak Liga M diteruskan susulan perkembangan semasa kes COVID-19 di negara ini yang dilihat semakin meningkat.

Sebelum ini, Liga M yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akan kembali bersambung pada 26 Ogos dengan aksi serentak Liga Super dan Liga Perdana manakala saingan Piala Malaysia akan bermula pada 17 hingga 18 Oktober depan.

Bagaimanapun, perlawanan tertunda iaitu aksi Liga Super yang menemukan PJ City FC dengan Terengganu FC serta perlawanan Liga Perdana antara UKM FC dan Kelantan akan berlangsung lebih awal pada 22 Ogos.

Selain itu, Ab Ghani turut mengingatkan semua pihak termasuk pemain dan pegawai pasukan mengikuti prosedur standard operasi (SOP) serta mengekalkan momentum seperti sesi latihan Fasa 1. – MalaysiaGazette