Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Jangkitan Covid-19 dalam kalangan warganegara Malaysia kembali merekodkan dua angka iaitu 13 kes pada hari ini dan daripada jumlah itu, lapan kes dilaporkan di Sarawak.

Sebanyak 21 kes baharu positif dilaporkan manakala sebanyak tiga kes pulih dilaporkan dan dicaj daripada hospital dan dibenarkan pulang untuk tempoh tersebut.

Berikutan itu, jumlah kes kebolehjangkitan meningkat kepada 161 kes dan jumlah kumulatif kes positif adalah sebangak 8,861 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 21 kes baharu positif yang dilaporkan, lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang berkahwin dengan rakyat Malaysia atau dibenarkan masuk di atas urusan kerja.

“Lima kes import tersebut adalah masing-masing dari Singapura, Australia, Filipina, Pakistan dan Qatar.

“Manakala daripda 16 kes penularan di dalam negara pula, 13 daripadanya melibatkan warganegara Malaysia manakala tiga lagi kes adalah melibatkan bukan warganegara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Noor Hisham, tiga kes jangkitan dalam negara melibatkan bukan warganegara adalah satu kes di Johor membabitkan Kluster Warga Wmas Kluang dan dua kes kluster Elsa di Pahang.

Katanya, dua kes adalah kluster Pesakit Dalam Siasatan (PUI) Ramnad di Kuala Lumpur, satu kes di Selangor melibatkan Kluster PUI Al Khobar; satu kes di Johor membabitkan Kluster Warga Emas Kluang dan akhirnya satu kes melibatkan Kluster Elsa.

“Manakala lapan lagi kes positif warganegara tempatan direkodkan di Sarawak juga iaitu daripada Kluster Sentosa.

“Sehingga kini, hanya lima kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun angka kematian Covid-19 masih tidak berubah dan kekal pada jumlah 123 kes atau 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast