KUALA LUMPUR – Prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat perlu dilaksanakan di beberapa lokasi yang mempunyai risiko tinggi jangkitan Covid-19 bagi memastikan pandemik itu tidak menular kembali.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd. Redzuan Md Yusof berkata, perkara itu dibangkitkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara pada Isnin lalu selepas mendapati beberapa tempat berpotensi menyumbang kepada penularan Covid-19 jika tidak diberi perhatian.
Beliau berkata, tempat yang berpotensi menyumbang kepada pembentukan kluster baharu terdiri daripada rumah penjagaan warga emas, institusi pendidikan, kawasan pekerja migran dan pendatang asing tanpa izin (PATI) seperti di pasar dan tapak pembinaan kerana jumlah pengunjung di lokasi berkenaan ramai selain suasana padat yang kondusif bagi transmisi Covid-19.
“Saya telah mencadangkan SOP yang lebih ketat dikenakan kepada pelawat di rumah penjagaan warga emas dan pemakaian penutup muka diwajibkan bagi semua pelajar di sekolah dan institusi pendidikan yang lain.
“Penutup muka boleh dibekalkan secara one-off kepada pelajar dan sekiranya ia dibuat daripada fabrik yang boleh dibersih serta disinfeksi selepas setiap kali diguna manakala di lokasi PATI dan pekerja migran pula, pihak berwajib mesti menguatkuasakan SOP penjarakan sosial dengan tegas serta mematuhi arahan pengunaan penutup muka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Redzuan, kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengaktifkan operasi di semua pusat kuarantin di seluruh negara apabila kuarantin mandatori selama 14 hari diwajibkan bermula hari ini.
“Pusat kuarantin ini memainkan peranan kritikal dalam mengelakkan kes import menjadi punca kepada penularan tempatan Covid-19 dan rakyat tidak seharusnya mengambil mudah dengan perkembangan pandemik yang kini kembali mencatatkan angka dua digit.
“Semua rakyat Malaysia mesti memainkan peranan mereka dengan mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup muka dan mempraktikkan budaya membasuh tangan dengan kerap bagi mengelakkan situasi yang berlaku di negara lain terjadi di sini,” ujarnya. – MalaysiaGazette