KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai agar waspada dan terus patuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan pihaknya sejak bermula pandemik wabak Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mahu rakyat menjadikan nasihat itu sebagai satu kebiasaan baharu dalam kehidupan harian dengan menggelakkan daripada berada di kawasan sesak, sempit dan sembang atau bertutur dalam jarak yang dekat.
Beliau juga mahu rakyat mengamalkan konsep 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun serta digalakkan memakai alat pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala.
“Mereka juga diingatkan menggelakkan dari bersalaman, bersentuhan, selain amalkan etika batuk dan bersin dengan betul serta mendapatkan rawatan segera jika bergejala.
“Seeloknya duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung, lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan di kawasan yang kerap disentuh.
“Yang penting, patuhlah kepada SOP sebagai norma baharu iaitu syarat seperti yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.
Beliau menyatakan, mereka berisiko tinggi seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) perlu dilindungi, manakala individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan.
Kata Dr, Noor Hisham, KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan dalam negara dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Oleh itu, katanya, KKM akan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan terkini mengenainya kepada orang ramai.
“Begitu juga KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya adalah dilaksanakan secara berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette