Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat (tengah) diiringi Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin (dua kiri) bergambar bersama poster banci penduduk dan perumahan Malaysia pada Majlis Kongres CUEPACS di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melihat semula lima perkara yang pernah diumumkan kepada penjawat awam tetapi masih belum dilaksanakan hingga sekarang.

Presidennya, Adnan Mat berkata, perkara berkenaan termasuk kenaikan gaji bersamaan satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) secara khas kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018, yang diumumkan kerajaan pada 4 April 2018.

“Kerajaan ini perlu bertindak sebagai sebuah kerajaan dan bukannya politik yang flip flop. Kerajaan hendaklah kekal sebagai sebuah kerajaan yang pada ketika mengumumkan sesuatu kepada penjawat awam terus mengambil tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan.

“Dan ianya bukan suatu keputusan politik tetapi kekal sebagai sebuah keputusan kerajaan. Banyak perkara yang telah diumumkan kerajaan dan kongres telah mengambil perhatian serius agar kerajaan terus kekal untuk menjaga kebajikan awam dan terus melaksanakan apa yang telah diumumkan sebelum ini.

“Cuepacs tidak melihat dalam bentuk politik tapi melihat kerajaan yang ada ini adalah kerajaan kami, kerajaan yang ada ini majikan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) di sini hari ini.

Adnan berkata, kerajaan pada 4 April 2018 turut mengumumkan pemendekan tempoh kenaikan pangkat time-based kali kedua daripada 13 kepada 10 tahun, berkuat kuasa 1 Januari 2018 yang belum dilaksanakan.

Selain itu kata Adnan, kerajaan juga bersetuju di bawah pembentangan Belanjawan 2020 bagi penebusan awal Gantian Cuti Rehat (DCR) sebanyak 75 hari membabitkan ganjaran wang tunai untuk penjawat awam sudah berkhidmat lebih 15 tahun.

“Perkara terbabit sudah diumumkan oleh kerajaan (lalu), justeru ia perlu dilaksanakan segera,” ujarnya.

Adnan berkata, CUEPACS juga memohon pertimbangan kerajaan supaya menambah elaun kos sara hidup (COLA) sebanyak RM50 untuk penjawat awam di Sabah dan Sarawak seperti yang dinikmati kakitangan awam di Semenanjung.

“RM50 itu boleh diletak dibawah elaun wilayah, yang penting kita nakkan RM50 tu.

“COLA ini telahpun dilaksanakan pada Januari yang lalu kepada gred 40 kebawah dan kongres memutuskan untuk dipanjangkan kepada gred 41 ke atas. Gred 41 pun gaji tak banyak, baru kerja RM2,000 lebih saja,” ujarnya. – MalaysiaGazette