Kim Jong Un. foto Reuters

SEOUL – Pemimpin Korea, Kim Jong Un mengadakan mesyuarat tergempar selepas seorang individu yang kembali dari Korea Selatan selepas melintasi sempadan secara haram pada bulan ini disyaki dijangkiti Covid-19.

Sekiranya disahkan, ini adalah kes pertama yang diakui secara rasmi oleh pihak berkuasa Korea Utara.

Selama ini Pyongyang mendakwa negara itu bebas dari koronavirus.

Susulan perkembangan terbaharu ini, Kim memerintahkan siasatan ke atas unit-unit tentera di sepanjang sempadan, yang mana mereka yang disyaki menyeberang ke Korea Selatan dikenakan hukuman yang berat dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan.

Kim turut mengisytiharkan keadaan darurat dan menguatkuasakan sekatan di sempadan Kaesong, selepas menyifatkan keadaan semasa adalah “situasi kritikal”, lapor agensi berita KCNA.

Menurut KCNA, seorang pembelot yang lari ke Korea Selatan tiga tahun lalu kembali dengan melintasi sempadan telah menunjukkan gejala Covid-19.

“Kejadian kecemasan berlaku di Kaesong, yang mana pelarian yang lari ke Korea Selatan tiga tahun lalu adalah seseorang yang disyaki dijangkiti virus ganas selepas kembali pada 19 Julai lalu dengan menyeberangi sempadan secara haram,” katanya.

KCNA tidak menyebutkan secara khusus sama ada individu tersebut telah disaring tetapi mengatakan “hasil yang tidak pasti dibuat daripada beberapa pemeriksaan perubatan melalui rembesan organ dan darah pernafasan ke atas individu itu,” mendorong dia dikuarantinkan.

Malah, individu yang kontak rapat dengannya juga sedang disiasat.

Korea Utara menerima ribuan kit ujian saringan dari Rusia dan negara-negara lain.

Pyongyang telah melaksanakan penutupan sempadan sebelum ini.

Malah, ribuan penduduk di Korea Utara turut dikuarantin tetapi peraturan itu telah dilonggarkan. – MalaysiaGazette