Dua kakitangan hospital Holy Cross sedang membawa seorang pesakit ketika penularan wabak koronavirus di negeri ini. foto Agensi

TALLAHASSEE – Florida menjadi negeri kedua selepas California yang mengatasi New York paling teruk dilanda penularan wabak koronavirus.

Jumlah kes Covid-19 di Florida meningkat 9,300 menjadi 423,855 pada hari Ahad, hanya satu tempat di belakang California, yang kini merekodkan sebanyak 448,497 kes.

New York kini berada di tempat ketiga dengan 415,827 kes.

Namun, New York mencatatkan kematian terbanyak berbanding negeri-negeri lain di Amerika Syarikat lebih daripada 32,000 dengan Florida di tempat kelapan dengan merekodkan hampir 6,000 kes kematian.

Secara purata, Florida menambah lebih 10,000 kes sehari pada bulan ini manakala California pula menokok 8,300 kes sehari.

New York pula meningkat 700 kes.

Kenaikan kes Covid-19 di Florida berterusan berikutan Gabenor Ron DeSantis berulang kali memaklumkan bahawa beliau tidak akan menjadikan pemakaian pelitup muka satu mandatori dan sekolah pula mesti dibuka semula pada bulan Ogos.

Berbeza dengan New York yang berjaya mengawal virus itu dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka dan menutup premis-premis perniagaan.

Kenaikan kes juga berlaku ketika Presiden Donald Trump bertegas mahu sekolah dibuka pada musim gugur, walaupun terdapat kebimbangan guru dan keluarga tentang keselamatan anak mereka sekiranya sesi persekolahan dibuka.

Selepas New York, Texas juga mempunyai jumlah kes koronavirus terbanyak iaitu 391,000.

Gabenor Texas Greg Abbott mengatakan taufan tropika, taufan kategori 1 yang melanda negeri itu pada Sabtu lalu sangat mencabar kerana melanda kawasan di negeri itu yang paling teruk dilanda koronavirus.

Untuk kali ke-10 pada bulan Julai, Alaska mencatat kenaikan kes dalam satu hari dengan 234 jangkitan baharu pada hari Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan negeri melonjak kepada 3,100.

Oklahoma turut mencatat rekod kes lima kali ganda pada bulan Julai, dengan 1,204 jangkitan baharu pada hari Ahad menjadikan jumlah keseluruhan melonjak kepada 31,285.

Lebih daripada 146,000 orang warga Amerika telah meninggal dunia akibat Covid-19 – hampir seperempat dari jumlah global – dan terdapat hampir 4.2 juta kes yang disahkan di negara ini atau sekurang-kurangnya 1 dari 79 orang telah dijangkiti. – MalaysiaGazette