KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan turun 4% pada bulan Jun 2020 kepada 100.3 berbanding 104.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Berdasarkan 1,063 item yang diliputi dalam IHPR, 39.5 peratus item mencatatkan kenaikan harga pada bulan Jun 2020. Sebaliknya, 53.7 peratus item menunjukkan penyusutan harga manakala 6.8 peratus item tidak berubah.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks perlombongan mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 42.5 peratus, diikuti pembuatan 1.2 peratus, bekalan air 1.2 peratus dan bekalan elektrik dan gas 0.6 peratus.

Sebaliknya, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan melonjak naik 15.1 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan kenaikan marginal 0.6 peratus pada Jun 2020 dan merupakan perubahan positif pertama bagi tahun ini. Peningkatan marginal ini disokong oleh peningkatan indeks perlombongan (10.9%) dan pertanian, perhutanan dan perikanan (10.3%).

Manakala, pembuatan, bekalan elektrik dan gas serta bekalan air, masing-masing merekodkan penurunan 0.8 peratus, 0.6 peratus dan 0.3 peratus.

IHPR pengeluaran tempatan bagi tempoh Januari-Jun 2020 mencatatkan penurunan 2.2 peratus berbanding -1.9 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut beliau, IHPR pengeluaran tempatan pada suku kedua 2020 turun 4.9 peratus kepada 100 berbanding 105.1 pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

Penurunan disumbangkan oleh indeks perlombongan (-51.4%), bekalan air (-1.1%), pembuatan (-0.7%) dan bekalan elektrik dan gas (-0.2%).

Sementara itu, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 9.8 peratus.

Bagi perbandingan suku tahunan, IHPR pengeluaran tempatan susut 5.0 peratus berbanding -0.9 peratus pada suku tahun pertama 2020. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast