KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengambil tindakan tepat berhubung hala tuju Perikatan Nasional (PN) dan dinamik politik perikatan antara Muafakat Nasional (MN), Parti Pribimi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan ahli gabungan PN
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Pulai, Muhammad Shaqib Shahrilnizam berkata, presiden berbuat demikian demi mengangkat suara akar umbi dalam permasalahan pengurusan penyatuan dengan sokongan terhadap PN hanya dihadkan di peringkat nasional dan negeri dan bukannya peringkat akar umbi.
Sokongan PN hanyalah dihadkan sebagai gabungan secara tidak formal dan bukannya komponen yang sah di sisi pertubuhan.
Menurutnya, rakyat faham PN diwujudkan angkara permasalahan dalaman Pakatan Harapan (PH) dan juga atas sebab kebertanggunjawaban kita terhadap rakyat, maka PN diwujudkan serta merta dan mendirikan kerajaan sementera tatkala pandemik Covid-19.
“Bersatu harus ingat, oleh kerana MN, parti ini diangkat untuk menduduki takhta di Putrajaya sekarang, maka MN juga boleh menarik balik kuasa sokongan itu sekiranya Bersatu bertindak liar angkara kuasa.
”Dengan adanya ketidakstabilan politik yang berpanjangan, seharusnya pilihan raya harus diadakan bagi mengembalikan kuasa mandat itu kepada rakyat atas dasar demokrasi.
”Persoalannya di sini adakah gabungan ini akan dijadikan MN plus (MN+), oleh kerana Bersatu dan lain lain menyertai Muafakat Nasional ataupun diadakan tiga penjuru pada PRU15 nanti?,” katanya dalam satu kenyataan di sini,
Dalam iklim politik yang kompleks ini, harus diingatkan bahawa suara akar umbi yang majoritinya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap MN dan bukan sebaliknya.
”Maka, kami berharap agar persoalan ini dapat diselesaikan dengan kemas dan tertib bersandarkan kearifan Ahli Jawatankuasa Muafakat Nasional.
Dengan ini, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pulai menyokong hasrat Presiden UMNO dan meminta agar penelitian dibuat oleh Pengurusan Jawatankuasa Muafakat Nasional dalam menyelesaikan masalah pengurusan penyatuan berpandukan suara akar umbi dan bukannya pandangan rakan gabungan semata-mata, tegasnya. – MalaysiaGazette