hayatul kamil
Ketua Amanah Parlimen Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menyifatkan fenomena lompat parti dalam kalangan ahli politik amat menjijikkan kerana ia boleh melibatkan kejatuhan sesebuah kerajaan.

Ketua Amanah Parlimen Bandar Tun Razak, Hayatul Kamil berkata, ini kerana pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat dilakukan oleh ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) setelah ditawarkan wang ringgit dan kedudukan.

“Apabila ahli Parlimen atau ADUN tersebut menerima tawaran wang bernilai jutaan ringgit supaya mereka meninggalkan parti asal, selain itu jawatan dan pangkat juga ditawarkan.

“Budaya ini telah berlaku di Malaysia dengan meriahnya, sejak Langkah Sheraton berlaku dan jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH),

“Kini ia menular pula ke beberapa negeri seperti Melaka, Kedah dan Johor  menyebabkan kerajaan negeri-negeri tersebut jatuh ke tangan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lebih mengejutkan katanya, apabila usaha itu dilakukan di Pulau Pinang dan Selangor, namun di Sabah gerakan menumbangkan kerajaan Warisan tidak berjaya meskipun ramai ADUN didakwa berjaya dibeli sehingga bernilai RM35 juta.

“Tindakan pantas Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dengan membubarkan DUN Sabah yang diperkenankan oleh Tuan Yang Terutama Sabah terlaksana.

“ADUN Lahad Datu, Dumi Masdal mengaku ditawarkan habuan untuk berpaling tadah di mana beliau dijanjikan bayaran RM5 juta untuk meninggalkan Warisan dan RM20 juta untuk menjadi Menteri Sabah,” katanya.

Katanya lagi, dalam suasana Hari Raya Aidiladha ini, rakyat sepatutnya dihidangkan dengan kegembiraan sepertimana Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS apabila Allah Taala menerima ibadah korban mereka.

“Dari peristiwa ini erti pengorbanan dipatuhi daripada Tuhan, setiap arahan agama wajib dilaksanakan, begitulah pengorbanan amanah dan tanggungjawab kepada parti dan rakyat tidak boleh seleweng dengan mudah meninggalkan parti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette