KUALA LUMPUR – Kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk tidak bersama Perikatan Nasional (PN) sebenarnya bukan untuk menarik sokongan rakyat Malaysia tetapi lebih kepada akar umbi UMNO itu sendiri.

Ketua Bersatu Bahagian Seputeh, Mohd Badrul Ezan Mohd Yusof mendakwa, Ahmad Zahid sedar jika beliau tidak berbuat demikian, kedudukan beliau sebagai Presiden UMNO akan terancam.

“Beliau terpaksa bertindak demikian kerana masih terdapat pemimpin-pemimpin UMNO itu sendiri yang masih tidak dapat menghadapi realiti politik masa ini.

“Pemimpin-pemimpin sebegini masih dibuai angan-angan dan fantasi bahawa rakyat Malaysia memerlukan mereka dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khamis lalu, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datok itu dalam satu kenyataan menyatakan UMNO tidak akan menyertai PN.

Sebaliknya beliau berkata, UMNO mahu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bersama Pas dan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Mohd Badrul Ezan juga menyalahkan Ahmad Zahid yang didakwa memomokkan ahli akar umbi dengan dongeng dan fantasi mengatakan bahawa rakyat telah kembali bersama mereka.

“Dalam keghairahan UMNO menguasai kerajaan-kerajaan negeri, mereka lupa bahawa siapa arkitek kejatuhan kerajaan-kerajaan negeri itu?

“Keyakinan tinggi mereka adalah satu perkara yang harus kita kagumi, seperti setinggi keyakinan mereka menghadapi PRU-14.

“Mereka meraikan kemenangan lima PRK seperti mana mereka meraikan kemenangan besar di Sungai Besar sebelum PRU-14 lalu.

“Namun, seharusnya mereka bangun dari mimpi dan sudah mula belajar berpijak diatas bumi yang nyata,” katanya.

Mohd Ezan juga menasihatkan Ahmad Zahid membuang sifat suka mengarah dan kembali merendah diri, mendengar, berbincang serta menghormati harus menjadi norma baharu dalam kalangan segelintir pemimpin-pemimpin UMNO.

“Kerana inilah maksud sebenar perjuangan Alif, Ba dan Ta. Percayalah, Zahid akan sentiasa ada bersama (PN). Saya percaya bahawa beliau tidak mahu menjadi presiden terakhir sebuah parti yang pernah menjadi tunjang utama perjuangan orang Melayu di bumi bertuah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

UMNO umum tidak sertai gabungan Perikatan Nasional

1 Komen

Comments are closed.