Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Temerloh, Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (kanan) bersama Ketua Srikandi Bahagian Temerloh, Siti Aisyah Ismail menunjukkan kad calon majlis pimpinan tertinggi PPBM selepas sidang media berkenaan memberi sokongan penuh terhadap Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangsar, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Temerloh hari ini menyatakan sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden parti itu dan Perdana Menteri.

Ketuanya, Tengku Azlan Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azzam Shah berkata, pendirian terkini Bersatu Bahagian Temerloh itu melenyapkan desas-desus mereka masih menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad khususnya di Pahang.

“Kalau seorang pemimpin itu kuat, benda betul kita akan sokong, saya nak berterus terang, kita sebagai di Bahagian Temerloh ini di bawah pimpinan saya, yang benar tetap benar, yang tidak betul kita akan buat teguran sama ada ia melibatkan pimpinan tertinggi  atau tidak.

“Ini tanggungjawab saya sebagai Ketua Bahagian dan saya nak anak buah saya berani menyuarakan sesuatu yang benar. Saya tak nak kita semata-mata menyokong pemimpin tapi kita menyokong perjuangan itu demi kebaikan masyarakat kita semua.

“Saya manusia bukan kaki bodek, kalau tak betul, tak betullah, sama ada awak terima atau tidak saya punya pendapat, itu bukan masalah saya, itu masalah awak,” katanya pada sidang media di kediamannya di sini hari ini.

Dalam pada, pendirian Bersatu Bahagian Temerloh juga menyokong kepimpinan Muhyiddin kerana Ahli Parlimen Pagoh itu telah menjalankan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan begitu baik khususnya ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

“Kita tahu bahawa Tan Sri berhadapan dengan pelbagai cabaran terutamanya dari segi pandemik Covid-19 dan terjejasnya ekonomi negara disebabkan wabak ini.

“Kita berharap akan sentiasa setia kepada Bersatu dan Insya-Allah kita akan mengharapkan juga Tan Sri akan bawa Bersatu kepada satu tahap yang boleh dibanggakan di mana akan datang,” katanya.

Ketika ditanya tentang habuan yang diterima untuk menyokong Muhyiddin, Tengku Azlan menegaskan mereka beralih sokongan bukan kerana sebarang tawaran.

“Tiada, kita tidak pernah ditawar dan saya rasa kalau ditawar kita tidak akan terima sebab kita sebagai manusia yang di depan ini manusia berprinsip, itu sebab mereka berkehendakkan orang macam saya.

“Mereka hendak seorang ketua yang ada prinsip, buat apa dia nak pilih ketua yang tiada prinsip, pada saya kita kena jadi seorang yang berprinsip.

Tengku Azlan juga menyatakan komitmen untuk menyokong bukan sahaja kepada Muhyiddin bahkan semua rakan politik yang telah membentuk Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu.

“Tiada yang lebih penting kepada kita semua ini yang begitu ramai keahliannya sekarang tidak kurang 300,000 anggota yang semasa ini berjuang habis-habisan bersama dengan rakan-rakan lain.

“Bukan dalam PRU-14 lalu bahkan dalam keadaan hari ini kita telah bersama dengan rakan-rakan baharu termasuk UMNO, Pas yang mana telah membentuk sebuah kerajaan baharu.

“Kita dengan sebulat suaranya akan taat dan setia kepada Bersatu dan kita harap pimpinan di peringkat atasan Bersatu akan sentiasa menjaga kepentingan ahli-ahli di dalam Bersatu.

“Parti mesti diutamakan, soal pemimpin adalah soal nombor dua, yang pentingnya perjuangan parti itu adanya hala tuju yang kita boleh berterusan memberikan sokongan.

Tengku Azlan juga sedia untuk melupakan sengketa lama ketika bersama dalam UMNO demi kepentingan rakyat Malaysia khususnya ketika Dr Mahathir meninggalkan parti Melayu itu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast