Datuk Suhaimi Sulaiman

KUALA LUMPUR – Suhaimi Sulaiman hari ini mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata surat itu dihantar hari ini kepada Lembaga Pengelola Bernama dan juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

“Ya, saya sudah menghantar surat peletakan tersebut. Namun ia terpulang kepada keputusan lembaga pengelola dan juga menteri,” katanya ringkas kepada Bernama.

Suhaimi, 58, yang merupakan seorang personaliti penyiaran dilantik sebagai Pengerusi Bernama bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa 1 Feb lepas.

Sebelum dilantik Pengerusi Bernama, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang saluran berita TV Astro AWANI.- BERNAMA