Dr Raha Abdul Rahim sedang mengikuti perkembangan semasa proses PRK secara Mobile Undi di Pejabat Pengurusan Pengetahuan, kampus induk UTeM, Durian Tunggal, Melaka semalam.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mempelopori kaedah baharu dalam menjalankan pilihanraya kampusnya dengan menggunakan kaedah mobile undi.

Naib Canselor UTeM,  Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, kaedah itu digunakan pada pilihan raya kampus UTeM yang diadakan semalam.

Jelasnya, melalui kaedah mobile undi ini, ia memudahkan seramai 12,419 orang penuntut UTeM yang berada di seluruh negara untuk membuang undi bagi memilih calon ahli Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi kali ini.

Menurut Raha, pelaksanaan kaedah terbaharu itu selari dengan musim pandemik Covid-19 dan para penuntut UTeM majoritinya masih berada di kampung halaman masing-masing namun mereka tetap dapat menunaikan tanggungjawab mereka dengan membuang undi secara atas talian sahaja menggunakan  mobile undi.

“Jumlah kerusi yang dipertandingkan adalah sebanyak 34 kerusi merangkumi 25 kerusi fakulti dan 9 kerusi umum. Ianya membariskan seramai 50 orang calon yang mana 30 orang calon bagi kerusi fakulti dan 20 orang calon bagi kerusi umum,” ujarnya lagi.

Perjalanan PRK UTeM yang bermula dengan kempen dan pengendalian pada hari pilihanraya yang digerakkan oleh sekumpulan pelajar UTeM dikenali sebagai CEC dan dibantu oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTeM.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana PRK UTeM, Ammar Jamaludin, penuntut Tahun 3, Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) berkata, perjalanan pilihanraya yang telah bermula pada pagi tadi berjalan dengan lancar.

“Manakala dari segi keputusan rasmi pula dijangka akan diumumkan lewat petang nanti,” ujarnya .

Katanya, agak mencabar kepada kami menggalas cabaran berkenaan dalam menggerakan pelajar yang berada di seluruh negara untuk membuang undi namun ianya dapat digerakkan dengan baik menerusi segenap jentera.

Mengulas mengenai perjalanan operasi sebelum ini beliau berkata, kesemua calon telah memulakan kempen sejak secara atas talian bermula 22 Julai sehingga 5 Ogos lalu.

Dalam pad itu, para penuntut UTeM yang berada di seluruh negara turut memberikan komen pengalaman baru mereka membuang undi menggunakan kaedah mobile undi.

Nuraishah Zainal Abidin, penuntut tahun 3 Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi yang kini berada di Shah Alam, berkata, kaedah terbaharu itu telah merubah corak mengundi dan pelajar boleh mengundi di mana-mana sahaja tanpa perlu hadir ke fakulti.

Nuraishah Zainal Abidin

Pelajar tahun 2, Mohammad Nor Mustaqim Johari yang kini berada di Durian Tunggal, Melaka pula, berkata, kaedah PRK kali ini sesuai dengan perubahan teknologi.

Sementara itu, pelajar tahun 2, Siti Fardhiana Adira Ramli yang kini berada di Tumpat, Kelantan berpandangan kaedah PRK kali ini sangat mudah dan menyenangkan kerana 100 peratus dilaksanakan secara atas talian.

Siti Fardhiana Adira Ramli

“Kita tak perlu turun ke pusat mengundi, sebaliknya hanya perlu buka portal Sistem Maklumat Pelajar atau apps myUTeM sahaja dan kita boleh membuang undi,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast