KUALA SELANGOR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Serentak itu, Mohd Shaid Rosli turut mengumumkan beliau kini sebagai ADUN Bebas di Dewan Negeri Selangor.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor bersama dua pertiga kepimpinan bahagian serta 13 cawangan juga sebulat suara untuk membubarkan parti itu di sini.

Beliau menjelaskan mereka membuat keputusan itu kerana kemelut parti yang melanda setelah Tun Dr Mahathir Mohamad disingkirkan daripada Bersatu.

Mereka merasakan perjuangan asal parti Bersatu telah tersasar dan terpesong daripada objektif asal penubuhan parti itu sendiri, iaitu untuk melawan sebuah kerajaan kleptokrasi dan menggantikan Bersatu sebagai wadah perjuangan bagi orang Melayu.

“Kini kami dapati parti ini sanggup bekerjasama dengan individu-individu yang ditolak oleh rakyat ketika pilihan raya umum lepas.

“Sehubungan itu, saya bersama Jawatankuasa Bahagian, Ketua-Ketua cawangan dan majoriti ahli Bersatu Kuala Selangor telah mengambil keputusan untuk keluar dari Bersatu pada hari ini dan menjadi ADUN serta ahli Bebas.

“Kami juga akan terus menyokong kepimpinan dan perjuangan yang dibawa oleh Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu Bahagian Kuala Selangor, hari ini.

Selain itu, keputusan membubarkan Bersatu Kuala Selangor disebabkan oleh parti tidak mendapatkan pandangan akar umbi mahupun perwakilan sebelum mengadakan kerjasama dengan gabungan baharu.

“Rata-rata ahli di bawah tidak dapat menerima keputusan yang dibuat hanya di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi sahaja.

“Kami juga merasakan Presiden Bersatu menjadi salah satu punca menyebabkan mandat rakyat pada PRU lepas, membuat keputusan keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan mandat rakyat tumbang,” katanya.

Walaupun Mohd Shaid kini sebagai wakil rakyat Bebas di DUN Jeram, namun beliau akan meneruskan menjalankan amanah dan mandat yang diberikan rakyat seperti biasa.

“Saya mahu terus bersama dengan mereka yang memberikan mandat kepada saya sehingga mereka membuat keputusan pada PRU akan datang,” katanya.

Katanya lagi, keputusan untuk keluar daripada Bersatu susulan daripada keadaan semasa parti itu yang sukar untuk membentuk satu gabungan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN).

“Ini kerana kesemua parti ini ditunjang oleh orang Melayu. Maka kawasan untuk bertanding akan menjadi rebutan dan tidak akan mengkhianati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

2 Komen

Comments are closed.