MCA
PRN Johor membawa cabaran bagi MCA untuk memastikan kemenangan kerusi yang ditandingi kelak.

KOTA KINABALU – MCA mahu bertanding di dua kerusi tradisi yang ditandinginya selain mengintai tiga kerusi tambahan dalam pilihan raya negeri di Sabah.

Sinchew Daily melaporkan, MCA sudah mengenal pasti dua kerusi yang mahu ditandingi iaitu Kepayan dan Luyang.

Selain itu, parti berasaskan kaum Cina itu juga mengintai kerusi baharu Segama yang mempunyai populasi penduduk keturunan Cina sebanyak 30 peratus.

Pengerusi Perhubungan MCA Sabah, Lu Yen Tung yang aktif di Kepayan ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengesahkan penyertaannya dalam pilihan raya.

“Kami pasti akan berjuang di kawasan-kawasan tradisi kami. Kami akan berunding secara proaktif khususnya dengan lebih banyak ruang perbincangan dalam Barisan Nasional (BN) Sabah.

“BN Sabah belum menetapkan tarikh mesyuarat lagi. Selepas mesyuarat BN Sabah, kami juga perlu berbincang dengan Perikatan Nasional pula.

” MCA Sabah justeru masih ada sedikit masa untuk mengenal pasti senarai calon kami,” katanya.

MCA Sabah sebelum ini perlu berebut dengan parti komponen lain seperti PBS dan LDP untuk mewakili BN di kawasan tumpuan pengundi Cina.

LDP dan PBS bagaimanapun telah meninggalkan BN sehingga MCA dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk bertanding di kawasan tumpuan pengundi Cina.

Walau bagaimanapun, parti itu masih perlu berbincang dengan PBS yang menyokong Perikatan Nasional dalam soal pengagihan kerusi.

Sementara itu, Gerakan dilaporkan belum membuat keputusan untuk bertanding di Sabah, walaupun terdapat ahli di Sabah yang menyokong penyertaan parti itu dalam pilihan raya negeri.

Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata, pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum partinya membuat apa-apa keputusan.

“Kami akan membuat pengumuman apabila sampai masanya,” katanya. – MalaysiaGazette