BANTING – Lebih 350 ahli dan pimpinan Bahagian serta Cawangan Bersatu Kuala Langat yang mengumumkan keluar parti tidak menolak kemungkinan untuk menyertai parti baharu yang bakal diwujudkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Kuala Langat, Mohd Abdullah Mohd Tuniman berkata, kemungkinan itu ada susulan sokongan mereka kini lebih kepada bekas Pengerusi Bersatu itu.
“Ya…mungkin kita akan ikut (parti baharu) Tun Dr Mahathir,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Terdahulu lebih 350 ahli akar umbi dan pimpinan Bahagian serta Cawangan Kuala Langat mengumumkan keluar parti selepas hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, bekas Timbalan Pengerusi Tetap Bersatu Bahagian Kuala Langat, Shahrulnizam Shaharuddin menyifatkan perjuangan Dr Mahathir lebih tulus berbanding Muhyiddin.
“Kita akan ikut apa yang diseru oleh Tun Dr Mahathir sebab kita tahu perjuangan siapa yang tulus, siapa perjuangan palsu, jadi kita ikut yang betul.
“Jadi perjuangan dengan Tan Sri Muhyiddin tidak nampak untuk kita pergi lebih jauh,” katanya.
Bagi bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kuala Langat, Zuhuraina Makmur pula, keputusan untuk keluar daripada parti itu susulan perjuangan parti itu tidak lagi berdasarkan prinsip beramanah, bermaruah dan berintegriti.
Sebaliknya beliau hanya melihat kepimpinan Bersatu penuh dengan pengkhianatan, manakala mandat rakyat pada PRU14 lalu telah diketepikan.
“Kami akar umbi yang dulu masa mula-mula masuk Bersatu niat kami untuk tidak bersama atau bekerjasama dengan kerajaan yang penuh dengan rasuah.
“Sekarang ini mereka yang bersangkutan dengan pelbagai salah laku sekarang ini mula dilepaskan, sebab itu kami ambil keputusan untuk tidak bersama Bersatu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette