Mohd Dendera Billah Zamzuri
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri. foto AFFAN FAUZI, 20 JULAI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin diingatkan tidak menjadikan Penggerak Komuniti Negara (PKN) hanya untuk menyelamatkan bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) semata-mata.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri menegaskan, bekas Ketua Wanita Keadilan sepatutnya menjadikan badan bukan kerajaan (NGO) naungannya itu untuk menjaga kepentingan rakyat.

“PKN merupakan NGO yang dinaungi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Sebagai seorang Menteri, beliau seharus menjaga kepentingan semua rakyat, bukan membina platform kepada bekas dan ahli pemimpin PKR.

“Persoalannya apakah NGO PKN? Adakah keahlian hanya kepada bekas ahli PKR yang tidak jelas hala tuju mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Mohd Dendera Billah juga menegaskan tiada keperluan untuk Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam bekerjasama dengan PKN pada masa ini.

Malah pihaknya juga tidak pernah mengadakan sebarang rundingan untuk menjalinkan kerjasama itu dengan NGO yang menjadi platform kepada bekas ahli dan pemimpin PKR itu.

“Tiada sebarang rundingan diadakan sebelum ini untuk mengadakan kerjasama dengan PKN,” katanya.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa tumpuan dan keutamaan sayap UMNO Bahagian Shah Alam itu pada masa ini ialah memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dengan sekutunya, Pas.

“Fokus Pemuda UMNO Shah Alam adalah memperkukuhkan kerjasama antara Pemuda MN di Shah Alam.

“Sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam menyatakan ketegasan menolak kerjasama dengan PKN, sebaliknya akan memperkukuhkan MN,” katanya. – MalaysiaGazette