Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Langat, Mohd Abdullah Mohd Tuniman (tengah) bersama ahli-ahli bahagian melaungkan kata-kata semangat pada Sidang Media Pembuburan Parti Bersatu Bahagian Kuala Langat di Family Event Space, Banting, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2020

BANTING – Lebih 350 ahli termasuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian dan Cawangan Kuala Langat malam ini mengumumkan keluar parti, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Timbalan Ketuanya, Mohd Abdullah Mohd Tuniman, tindakan itu diambil kerana mereka sebulat suara telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan lafaz Bismillahirahmanirahim adalah dengan daya upaya, kami mengumumkan secara rasmi untuk berhenti menjadi ahli Bersatu berkuat-kuasa serta merta.

“Antara sebab-sebab kami berundur dan berhenti daripada menjadi ahli Bersatu adalah presiden telah mengkhianati mandat daripada rakyat.

“Tindakan kami ini dibuat secara rela hati, tanpa paksaan mana-mana pihak mahupun ditawar sebarang imbuhan atau ganjaran oleh ayahanda Tun Dr Mahathir.

“Sehubungan itu, kami memberi sokongan penuh terhadap ayahanda Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Kuala Langat, Mohd Abdullah Mohd Tuniman bercakap pada Sidang Media Pembuburan Parti Bersatu Bahagian Kuala Langat di Family Event Space, Banting, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 10 OGOS 2020

Selain Mohd Abdullah, antara yang turut bertindak keluar parti ialah Pengerusi Tetap Bahagian Bersatu Kuala Langat, Timbalan Pengerusi Tetap Bahagian Bersatu Kuala Langat dan lapan Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Kuala Langat.

Turut mengumumkan keluar parti ialah 16 Ahli Jawatankuasa Srikandi Bahagian Bersatu Kuala Langat, 19 Ahli Jawatankuasa Armada Bahagian Bersatu Kuala Langat, enam Ketua Cawangan bersama kesemua Ahli Jawatankuasa Cawangan serta 300 ahli akar umbi Bersatu Bahagian Kuala Langat.

Serentak itu, Mohd Abdullah dan semua pimpinan Bahagian dan Cawangan Bersatu Kuala Langat melepaskan semua jawatan yang dimenangi dalam pemilihan dan jawatan lantikan yang disandang ketika ini.

Susulan peletakan jawatan oleh kesemua enam Ketua Cawangan Bersatu Kuala Langat, secara tidak langsung keenam-enam Cawangan Bersatu Kuala Langat turut terbubar secara automatik.

“Di peringkat cawangan-cawangan seramai enam Ketua Cawangan telah bersetuju untuk membubarkan cawangan Bersatu Bahagian Kuala Langat dengan serta-merta.

“Antara Cawangan itu ialah Pekan Banting, Banting Jaya, Simpang Morib, Sri Putra, Taman Kemuning dan Telok 2,” katanya.

Turut bertindak keluar parti dan meletakkan jawatan sayap parti, iaitu bekas Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kuala Langat, Zuhuraina Makmur dan Naib Ketua Armada Bersatu Bahagian Kuala Langat, Mohd Amirullah Akhuri Mohd Tuniman. – MalaysiaGazette