Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Institusi perbankan komited memberikan fleksibiliti pembayaran balik kepada individu lain dan semua peminjam perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat Covid-19.

Fleksibiliti yang ditawarkan oleh sesebuah bank akan mengambil kira keadaan spesifik setiap peminjam, kata Datuk Abdul Rahim Bakri, Timbalan Menteri Kewangan.

Tawaran ini termasuk membenarkan peminjam membayar bahagian faedah sahaja bagi sesuatu pinjaman dalam tempoh tertentu, memanjangkan tempoh keseluruhan pinjaman bagi mengurangkan ansuran bulanan atau memberikan fleksibiliti lain sehingga kedudukan peminjam lebih stabil bagi menyambung pembayaran balik baki pinjaman.

Abdul Rahim berkata demikian semasa menjawab soalan berAhli Parlimen (BN-Jempol), Datuk Mohd. Salim Sharif berhubung pelan tindakan untuk membantu individu-individu yang berdepan masalah kewangan dan pembayaran hutang akibat pandemik covid-19, khususnya selepas tamat tempoh moratorium pada September 2020 bagi mengelakkan berlakunya peningkatan bilangan individu muflis.

Menurut Timbalan Menteri itu, peminjam yang menghendaki moratorium ini boleh memohon terus kepada bank bagi membolehkan bank mempunyai ruang yang mencukupi untuk memproses dan mempertimbangkan.

Permohonan telah dibuka sejak 7 Ogos lalu.

Terdahulu, Abdul Rahim berkata, kerajaan melaksanakan kaedah moratorium bersasar selepas tamat moratorium secara automatik pada September 2020 nanti kepada individu terjejas seperti yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri.

Lanjutan moratorium bersasar dan peruntukan fleksibiliti pembayaran balik khusus untuk golongan benar-benar memerlukan iaitu:
(a)Individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih lagi belum mendapat pekerjaan lain akan ditawarkan tempoh lanjutan moratorium pinjaman selama tiga bulan lagi oleh bank masing-masing.
(b)Individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas akibat Covid-19 akan ditawarkan pengurangan ansuran pinjaman yang sepadan dengan pengurangan gaji mereka, bergantung pada jenis pembiayaan.

Menurutnya, institusi perbankan akan menawarkan tempoh fleksibiliti ini selama sekurang-kurangnya enam bulan.

Institusi perbankan juga akan mempertimbangkan lanjutan pemberian fleksibiliti pada akhir tempoh tersebut, dengan mengambil kira gaji peminjam pada ketika itu.

Manakala bagi pembiayaan sewa beli, peminjam yang terjejas akan ditawarkan jadual ansuran pembayaran yang disemak semula supaya selaras dengan Akta Sewa Beli 1967. – MalaysiaGazette