Majlis pelancaran buku puisi terakhir penyajak ternama, Sapardi Djoko Damono baru-baru ini. Foto Agensi

JAKARTA- Sebuah buku yang mengandungi 80 puisi Allahyarham Sapardi Djoko Damono untuk isterinya, Sonya Sondakh telah dilancarkan secara rasmi oleh syarikat penerbitan, Gramedia Pustaka Utama (GPU) baru-baru ini.

Penyajak ternama Indonesia itu menghabiskan masa selama dua tahun untuk menyiapkan buku yang diberi tajuk mBoel, yang juga merupakan nama manja kepada isterinya.

Buku puisi itu dirancang untuk dilancarkan pada Ogos sempena bulan kelahiran Sonya namun Sapardi telah terlebih dahulu menghadap ilahi bulan lepas.

“Allahyarham membuat semua persiapan sendiri.

“Ini merupakan sebahagian daripada perancangan beliau untuk 2020,” kata Sonya.

Buku puisi yang dihasilkan sebagai penghargaan buat isteri tercinta yang juga merupakan sahabat seumur hidupnya, mBoel telah telah dilancarkan di kediaman pasangan berkenaan serta disiarkan melalui Instagram Live.

Buku tersebut sepatutnya dimulakan dengan empat puisi ternama allahyarham iaitu Hujan Bulan Juni, Aku Ingin, Di Restoran dan Ketika Kau Tak Ada yang mana telah diterbitkan di sebuah akhbar pada 1989 yang mana, kemudiannya difotokopi sebelum Sapardi mengirimkan kepada Sonya yang ketika belajar di Paris ketika itu.

Puisi-puisi indah itu menjadi karya ternama selepas diterbitkan ke dalam buku-buku lain dan dijadikan lagu serta telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Bagaimanapun, di akhir waktunya, Sapardi hanya memilih untuk memasukkan puisi Ketika Kau Tak Ada ke dalam buku terbaharunya, mBoel.

“Karya terakhirnya ini adalah hadiah untuk orang yang paling dicintainya.

“Lapan puluh peratus daripada karya-karya terakhirnya telah dicatatkan ke dalam buku ini,” kata Ketua Kesusateraan GPU, Mirna Yulistianti.

mBoel akan dijual di kedai-kedai buku bermula 17 Ogos ini.- MalaysiaGazette