Anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja nyahkuman di beberapa zon dalam operasi sanitasi awam di premis.

KUALA LUMPUR – Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu sehingga semalam, sebanyak 12,838 premis di seluruh negara telah disanitasi oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Operasi sanitasi awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melibatkan 134 zon sepanjang tempoh berkenaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini sebanyak 12,838 premis telah disanitasi, iaitu 2,697 pusat perniagaan, 5,644 bangunan kerajaan, 1,594 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,594 tempat awam dan 354 pasar raya.

Ismail Sabri Yaakob.

Semalam sahaja, katanya, 10 operasi sanitasi telah dilakukan anggota JBPM melibatkan 10 Zon termasuk empat Zon Kuning dan enam Zon Hijau dari empat negeri, antaranya Sabah tujuh operasi dan masing-masing satu operasi di Pahang, Pulau Pinang serta Kedah.

“Operasi sanitasi ini melibatkan 58 anggota JBPM dan 26 anggota dari agensi lain, manakala dua jentera JBPM turut terlibat,” katanya dalam kenyataan khas mengenai Covid-19, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri menyatakan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 74 tapak binaan di seluruh negara.

Jelas beliau, pemeriksaan itu melibatkan 62 anggota penguatkuasa dan mendapati ada satu tapak binaan tidak mematuhi prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan.

“Pemaju berkenaan telah diberi amaran,” katanya. – MalaysiaGazette